Syed Husin : Rasuah Sukar Dibendung Kerana Bermula Diperingkat Atasan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Syed Husin : Rasuah Sukar Dibendung Kerana Bermula Diperingkat Atasan

SHAH ALAM 26 JUN : Rasuah di Malaysia sukar dibendung dan menjadi bertambah serius saban tahun kerana ia dikenal pasti bermula di peringkat atasan, kata Senator Dr Syed Husin Ali.

Menurut Syed Husin, ia bukan sahaja membabitkan golongan bawahan tetapi lebih parah apabila golongan pemimpin atasan  terbiasa dengan pengurusan kegiatan ekonomi yang mengaut keuntungan negara untuk memberi kesenangan kepada pihak-pihak tertentu.


Jelasnya, sekiranya pimpinan peringkat atasan mengamalkan rasuah dalam pentadbiran, maka tidak mustahil bagi golongan bawahan untuk ‘mencontohi’ atau mengikuti perilaku pemimpin mereka.

“Ada pepatah mengatakan, ikan akan mulai busuk di bahagian kepala dulu, iaitu merujuk kepada pimpinan atasan. Kalau sudah kepalanya mengamalkan rasuah  maka ia mudah dibawa kepada peringkat bawahan yang akhirnya akan menjurus kepada kehancuran masyarakat,” katanya.

Pendapat ini dilontar beliau ketika menyampaikan pandangan di forum mengenai rasuah berdasarkan ucaptama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan buku bertajuk ‘Rasuah’ oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Attas di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Forum itu adalah bersempena pelancaran Wacana Ilmu ‘Buku Rasuah’ yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Tambah Syed Husin, berdasarkan indeks persepsi rasuah yang dilakukan, Malaysia antara negara yang mencatat rekod buruk sepanjang dua tahun lepas iaitu pada kedudukan 60 daripada lebih 100 buah negara seluruh dunia.

Katanya, adalah mengecewakan apabila kegiatan rasuah masih gagal di atasi sehingga hari ini, malah budaya tersebut seakan-akan tidak boleh diubah dan dipandang enteng oleh kebanyakan pihak.

“Rasuah adalah suatu perkara yang jijik, kotor dan merugikan rakyat. Selagi tiada kehendak bertindak terhadap perkara ini, maka ia akan terus berlaku. Susah hendak bertindak secara bersih apabila pemimpin sendiri mengamalkan rasuah.

“Tetapi, kalau wujud sahaja tuduhan terhadap pemimpin pembangkang, cepat sahaja mereka ambil tindakan. Jelas wujud diskriminasi di situ. Kita perlu lakukan sesuatu,” tegasnya.

 

 

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION