NASIONAL

Umno-BN Perkecil Soal Agama Jika Adakan PRU-13 Pada Musim Haji

SHAH ALAM, 14 JUN : PAS menyifatkan kerajaan Umno-BN sebagai memperkecilkan soal agama dan hukum Islam sekiranya menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada musim haji.

Ini kerana menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad, sekiranya parti itu benar-benar menghormati Islam dan ibadah haji seperi yang dinyatakan, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengadakan PRU-13 pada tarikh lain yang dirasakan sesuai.

“Kalau Kerajaan Pusat katakan mereka tahu soal hukum agama, tetapi tetap adakan PRU-13 pada musim haji, maka ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati haji, tidak pentingkan soal ibadat dan tidak pentingkan hak Islam untuk tentukan corak pemerintahan negara,” katanya.

Berbanding Umno-BN, PAS sentiasa berpegang pada konsep kepimpinan politik dan kepentingan Islam yang menjadi keutamaan dalam pentadbiran parti, kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau berkata, ulama PAS juga menetapkan keputusan bagi seseorang calon atau wakil calon yang dipilih itu untuk menangguh ibadah haji ke tahun hadapan sekiranya tarikh pilihan raya jatuh pada waktu tersebut.

Tambahnya, ibadah haji boleh dilaksanakan setiap tahun, manakala PRU hanya berlangsung sekali dalam tempoh antara empat hingga lima tahun.

“Kedudukan sebagai calon adalah sebagai amanah dan tanggungjawab besar yang tidak boleh diganti. Oleh itu, mereka perlu mengutamakan persoalan itu (pilihan raya) berbanding ibadah haji,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui di parlimen mengesa kerajaan Umno-BN perlu mengeluarkan satu kenyataan muktamad bagi menjawab persoalan sama ada PRU-13 akan diadakan pada musim haji atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan, reaksi pemimpin Umno-BN dan beberapa tokoh agama yang meminta jemaah mengutamakan ibadah haji daripada politik banyak menimbulkan spekulasi.

“Kalau mereka (kerajaan) mengatakan, pergilah(menunaikan haji), tidak mengapa. Insya Allah pilihan raya tidak diadakan, itu sepatutnya kenyataan daripada kerajaan

“Ini tidak, pergi menunaikan haji. Itu adalah keutamaan, politik adalah kedua.

“Macam mereka suruh jemaah pergi kerana pilihanraya akan diadakan untuk mengurangkan jumlah undi orang-orang yang mungkin ingin membuat perubahan pada pilihanraya akan datang,” katanya.

PAS sebelum ini menegaskan hanya ahli parti yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya sahaja diminta untuk menangguh ibadah haji sekiranya PRU-13 berlangsung pada tarikh tersebut.

Terdahulu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno-BN menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

Hadi menyatakan, hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan di antara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Beliau menegaskan, Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.


Pengarang :