Selangorkini
SELANGOR

Azmin : Adun Umno-BN Lempar Tuduhan, Tapi Tak Berani Berdepan

SHAH ALAM 09 JULAI : Azmin Ali hari ini menempelak Sulaiman Abdul Razak berhubung tuduhan pemilikan akaun RM 3 Bilion oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Azmin (Bukit Antarabangsa-PKR) berkata tuduhan Sulaiman (Permatang-BN) itu merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab oleh Umno-BN.

Beliau menegaskan fitnah terbabit ditaja oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Anwar berada dalam penjara Sungai Buloh di antara 1999 ke 2004.

Jelasnya, dalam kertas siasatan yang dibuat oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris, kes tersebut tiada bukti.

“Siasatan itu dijalankan dengan menyeluruh dan teliti termasuk akaun di luar negara dan dalam negara, tiada asas untuk mendakwa beliau (Anwar).

“Siapa Permatang untuk tampil dalam dewan, nak jadi juara konon, sudah sampai masa untuk kita dedah siapa Adun Permatang ini,” katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman tidak berada dalam dewan ketika penjelasan dari Azmin.

“Inilah kekuatan yang ada pada Umno-BN, apabila lontar tuduhan tetapi ‘lari’ untuk mendengar fakta, tidak berani untuk berdepan dengan fakta,” katanya.

Sebelum ini, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid mendakwa Anwar memiliki 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion pada 1999.


Pengarang :