NASIONAL SELANGOR

Charles : Jawatankuasa Air Pusat “Sia sia”, “Mengarut”, “Tidak Adil”

SHAH ALAM 22 JUL : Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk meneliti pengambil-alihan operasi Syabas oleh Selangor diselar oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kerana tidak melibatkan pemimpin Kerajaan Selangor.

Walhal jawatankuasa itu, yang diumumkan kerajaan pusat pada Julai 19, bertujuan menyelesaikan masalah bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Seorangpun wakil Kerajaan Negeri tidak dilantik untuk berbincang dan menyatakan pandangan dan pendirian kita dalam jawatankuasa tersebut.

“Jadi sudah tentulah rancangan penstrukturan semula air tidak akan dibincangkan. Melainkan apa yang mereka inginkan iaitu Projek Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka sementara rakyat terus ditindas,” tegas Charles yang dihubungi.

Langat 2 merujuk kepada projek mega untuk membeli dan memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor yang akan menelan kos RM 6 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat berpendirian projek itu membazirkan kerana negeri mempunyai bekalan air mentah yang cukup.

Mengulas lanjut, Charles mempersoalkan keberdayaan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan isu air kerana mereka didakwa tidak mementingkan rakyat.

“Kita memandang Kerajaan Pusat sebagai hanya mengikut rentak dan kemahuan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehinggakan rakyat menjadi mangsa dengan pelan catuan air Syabas yang tidak relevan.

“Sementara rakyat ditekan, Kerajaan Pusat pula masih gagal melaksanakan suatu pelan tindakan yang meyakinkan melainkan penubuhan jawatankuasa syok sendiri ini,” tambahnya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), , Datuk Seri Peter Chin Fah Kui beberapa hari lalu dan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman jawatankuasa itu selepas Kerajaan Selangor menyatakan hasrat untuk mengambil alih atau ?step in? operasi Syabas, syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus air terawat dan pengederan air kepada pengguna.

Proses step in ini dilakukan kerana Syabas gagal melaksanakan tugasnya sehingga berlaku ganguan bekalan air terawat di beberapa kawasan di selatan Selangor.

Jawatankuasa pusat itu turut dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Tiada wakil Kerajaan Negeri Selangor dilantik dalam jawatankuasa itu namun Peter dalam satu kenyataan menyebut pihaknya akan memanggil Kerajaan Negeri untuk memberi pandangan ?jika diperlukan?.


Pengarang :