Selangorkini
NASIONAL

Dr Rani : Debat Hasan Ali Tidak Professional


SHAH ALAM, 9 JULAI : Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman menyifatkan cabaran debat daripada Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali sebagai satu tindakan terdesak dan tidak profesional.

Kata Dr Abdul Rani, jika Hasan mengatakan dirinya profesional, beliau tidak seharusnya menetapkan tarikh untuk berdebat sesuka hati.

“Kalau nak berdebat perlu ada persetujuan kedua-dua pihak. Saya tidak pernah bersetuju untuk berdebat dengannya.

“Dia dah dipecat baru sibuk-sibuk nak turun padang. Bila dah tak ramai orang datang nak dengar ceramahnya dia cuba mencari isu lain untuk menonjolkan dirinya semula,” katanya dalam sidang media di luar Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dr Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya Pas Selangor, dilaporkan menghantar surat kepada Dr Rani yang menetapkan tarikh dan tempat lokasi debat tersebut tanpa mendapat persetujuan Dr Rani.

Debat yang bertajuk ‘Dimanakah Hala Tuju PAS Selangor’ yang dianjurkan JATI dijadual berlangsung pada 11 Julai ini di Meru, Klang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Dr Hasan seharusnya mengajak beliau berdebat kerana permasalahan antara mereka belum selesai.

“Dia sendiri dah menuduh saya parasit dalam PAS dan saya sendiri mempunyai isu-isu mengenai JATI”, kata Khalid di dalam sidang media yang sama.

Khalid berkata, beliau bersedia untuk berdebat dengan Dr. Hasan sebagai jalan terbaik untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh Dr Hasan.

“Saya sendiri dimaklumkan Sinar Harian sudah berusaha mengaturkan debat diantara saya dan Dr. Hasan sejak dari bulan Februari lagi.

?Namun beliau tidak bersetuju atas alasan majlis shura JATI tidak membenarkan untuk beliau berdebat,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor.

Katanya, debat yang dianjurkan oleh Dr.Hasan merupakan tindakan terdesak JATI bagi meraih sokongan kerana tiada sambutan terhadap ‘roadshow’ persatuan itu.


Pengarang :