Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Hanya Kerajaan Selangor Boleh Beri Kelulusan Pembinaan Langat 2

 

PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Pusat boleh mengeluarkan tender projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetapi kelulusan mengenai pelaksaannya hanya boleh diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri juga tidak akan terlibat dengan proses tender tersebut kerana beranggapan ia tidak relevan dengan masalah air yang didakwa wujud di Selangor.

Setakat ini, menurutnya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju dan ingin berbincang dengan Kerajaan Pusat mengenai proses penstrukturan semula air di negeri itu.

Katanya, pihak tenaga kerja profesional dilantik bagi membuat kajian dan menyiapkan laporan mengenai isu air tersebut dan dakwaan Menteri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui yang mengatakan laporan Kerajaan Negeri tidak betul tidak boleh diterima.

“Jika laporan itu tidak betul, mari kita jumpa dan berbincang. Mengapa gunakan media untuk bertanya? Ia bukan laporan yang saya buat tetapi laporan disiapkan oleh pihak professional yang dilantik Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti berkaitan isu masalah air ini.

“Jika anda fikir ia tidak betul, bukan Peter Chin yang patut buat kenyataan tetapi itu tanggungjawab Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas). Ini kerana beliau dibayar melebihi harga pihak profesional. Peter Chin patut menilai perkara ini kerana pembayaran diluluskan lebih RM400,000 sebulan untuknya. Mengapa beliau tidak berbincang dengan kita (Kerajaan Negeri)? soalnya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian surat kelulusan pemberimilikan tanah kerajaan dan notis 5A di Kampung Sungai Sireh Tambahan di sini hari ini.

Menteri Besar selanjutnya berkata, Peter Chin tidak memikirkan tentang perihal rakyat Selangor dan mempersoalkan apa dilakukan menteri itu terhadap rakyat Sarawak.

Beliau berkata, Peter Chin seharusnya memberikan teguran terhadap Pengerusi Eksekutif Syabas berhubung perkara itu.

“Kita akan ingatkan dia kerana perkara ini sangat penting kepada kita. Jika anda fikirkan tentang rakyat maka rakyat akan fikir tentang diri kita tetapi jika anda fikir RM400,000 (gaji bulanan Pengerusi Eksekutif Syabas) adalah lebih penting maka tidak akan memikirkan tentang anda,” katanya lagi.

Dalam laporan media semalam, Kerajaan Pusat akan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan.


Pengarang :