Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Selangor Boleh Bina Sendiri Sekolah Jika Pusat Enggan

SHAH ALAM 9 JUL : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan membina sendiri sekolah kebangsaan di Taman Medan Petaling Jaya sekiranya Kerajaan Pusat enggan berbuat demikian walaupun tanah sudah disediakan.

Projek tersebut boleh dijalankan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana populasi kawasan tersebut sudah melebihi 40,000 penduduk, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata Kerajaan telah meminta untuk sebuah sekolah kebangsaan dibina di situ tiga bulan lalu dan tanah juga telah diperuntukan bagi tujuan tersebut.

Ini sekaligus menyangkal dakwaan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi bahawa Kerajaan Negeri tidak memberi kelulusan tanah bagi pembinaan sekolah di Selangor.

“Kita sediakan tanah, bukan kata satu sekolah malahan mana-mana sahaja Kerajaan Pusat minta untuk dibangunkan sekolah kita memang ada peruntukan tanah.

“Jadi bagaimana timbul kenyataan seperti ini oleh seorang Timbalan Menteri saya pun tidak pasti kerana kenyataan beliau ternyata tidak benar dan beliau juga tahu ia tidak benar,” jawab Abdul Khalid dalam satu sidang media sejurus Majlis Sambutan Zon Bersih di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata hakikatnya Kerajaan Pusat yang enggan membina sekolah walaupun tanah sudah diperuntukkan untuk pembinaan.

?Setiap 100 ekar pembangunan, pemaju akan beri tanah untuk Kerajaan Negeri wartakan bagi pembangunan sekolah dan lain-lain.

“Tetapi masalah yang kita hadapi dalam kes ini, Kementerian Pelajaran tidak mahu buat dan ini adalah perkara yang amat mengecewakan kerana ia melibatkan keperluan pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Beliau meminta Kementerian Pelajaran menyediakan senarai lokasi yang diperlukan pihak kementerian untuk pembinaan sekolah di seluruh Selangor.

“Berikan kita senarai, kita akan cari tanah untuk Kerajaan Pusat bina sekolah kerana kita sememangnya komited dan sangat menggalakkan wang rakyat disalurkan kepada pendidikan,” tegasnya.

Beberapa hari lalu, Dr. Puad mengeluarkan kenyataan meminta Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah kepada kerajaan pusat bagi membolehkan lebih banyak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dibina di Selangor.

Menurut beliau, keengganan Kerajaan Negeri bekerjasama memberikan kelulusan tanah menyekat usaha Kerajaan Pusat membina lebih banyak sekolah di negeri ini.


Pengarang :