NASIONAL

Kerajaan Selangor Sedia Beri Pandangan Dalam Jawatankuasa Kabinet

SHAH ALAM, 20 JUL : Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyatakan kesediaannya untuk memberi pandangan berhubung penyelesaian krisis air yang didakwa berlaku kini sekiranya perlu menerusi Jawatankuasa Kabinet Khas yang dibentuk Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menghormati keputusan Kerajaan Pusat sekiranya jawatankuasa itu benar-benar berkebolehan menyelesaikan isu air.

Sebaliknya jika jawatankuasa itu gagal mencapai sebarang keputusan, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk meneruskan usaha mengambil alih pengurusan air di Selangor.

“Sesiapun yang mereka sediakan, Kerajaan Negeri merasakan tiba masanya untuk penyusunan semula industri air di Selangor dibuat. Jadi kalau kabinet berfungi atas dasar tersebut, kita boleh terima. Kalau tidak kita akan teruskan usaha untuk menguruskan penyusunan semula industri air.

“Kerajaan Negeri tiada masalah untuk berjumpa dengan mereka, malah kita boleh bawa jawatankuasa ini ke Dewan Negeri(Selangor) supaya rakyat boleh tahu isu sebenar,” katanya.

Bernama semalam melaporkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Khas untuk memantau dan menangani krisis air di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji semua isu, termasuk permintaan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan cadangan Syabas untuk melaksanakan catuan air.

Jawatankuasa itu terdiri daripada dirinya sendiri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik.

Ia akan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai tindakan KeTTHA yang seolah-olah mengenepikan peranan Kerajaan Negeri dalam isu pengurusan air, Abdul Khalid dengan sinis berkata, ia adalah ‘karektor’ semula jadi Kerajaan Pusat.

Menurutnya, sehingga hari ini tindakan dan keputusan Kerajaan Pusat masih belum memihak kepada rakyat.

“Itulah karaktor semulajadi Kerajaan Pusat yang tidak boleh diubah. Saya lebih gembira tidak dipilih untuk menyertai jawatankuasa itu. Saya tak perlu bimbang kerana rakyat lebih berhak untuk tahu kedudukan sebenar.

“Kalau betul Kerajaan Pusat perlukan pandangan Kerajaan Negeri, maka saya akan bawa rakyat untuk nilai sendiri keberkesanan jawatankuasa ini,” katanya lagi.


Pengarang :