Selangorkini
SELANGOR

Ketua Kampung Nikmati Bonus RM200 Dari Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 29 JULAI: Selain kakitangan awam Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Kampung di Negeri Selangor turut menerima bonus sebanyak RM200 menjelang perayaan Hari Raya Puasa nanti.

Menurut Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Kerajaan Selangor, Dr Yaakob Sapari bonus tersebut akan dibayar dalam bentuk simpanan di Tabung Haji atau akaun Simpanan Premium di Bank Simpanan Nasional(BSN).

“Saya tanya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selain penjawat awam, Ketua-ketua kampung ada dapat tak Tan Sri?

“Tan Sri jawab, ada, Ketua Kampung juga akan dapat bonus RM200 itu,” kata Dr Yaakob sambil disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 400 hadirin dalam Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Pemimpin Masyarakat Negeri Selangor malam tadi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata pemberian bonus diberikan dalam bentuk simpanan merupakan merupakan satu galakkan kepada masyarakat untuk menabung.

“Tetapi sekiranya nak keluarkan duit itu pun boleh dikeluarkan, tak jadi masalah,” ujar Abdul Khalid ketika berucap di majlis tersebut.

Beberapa Ketua Kampung yang ditemui malam tadi selain menyambut baik pengumuman pemberian bonus itu, mereka turut berpendapat majlis yang diadakan itu merupakan suatu majlis yang mampu merapatkan hubungan antara pemimpin negeri dan akar umbi.

“Berita baik ini saya anggap sebagai satu penghargaan oleh Kerajaan Negeri kepada tugas-tugas yang dilaksanakan setiap Ketua Kampung.

“Begitu juga dengan majlis ini dan saya lihat ia suatu yang baik kerana ia memberi peluang kepada pemimpin akar umbi mengenali Menteri Besar kita dengan lebih dekat lagi.

“Saya rasa majlis seperti ini wajar diteruskan,” kata Ketua Kampung Batu 37 Darat, Abd Malik Alang kepada TVS dalam majlis itu.

Ketua Kampung Telok Gadong, Baharuddin Abu Bakar berkata selain menyambut baik pemberian bonus oleh Kerajaan Negeri itu beliau menganggap majlis berbuka puasa yang diadakan malam tadi selaras dengan Sunah Nabi Muhammad S.A.W.

“Majlis berbuka puasa bersama ini baik kerana ia juga diamalkan oleh Rasulullah.

“Selain itu ia dapat mempertemukan pemimpin atasan dan pemimpin akar umbi, kita boleh berkenal-kenal.

“Harap program seperti ini dapat diadakan setiap tahun,” kata Baharuddin.

Turut hadir Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong, Adun Lembah Jaya, Khassim Abdul Aziz dan Senator Syed Shahir Syed Mohamud.

 


Pengarang :