Selangorkini
Pelbagai

Krisis Air : MTUC Serah Memo Minta SYABAS Jawab Sebelum 7 Ogos

KUALA LUMPUR 26 JULAI : Syabas diberi tempoh sehingga 7 Ogos ini bagi menjawab persoalan berhubung krisis air yang didakwa berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sekiranya tiada jawapan dikemukakan syarikat konsesi air itu sehingga tempoh dinyatakan maka adalah jelas ‘krisis air yang berlaku’ hanyalah tidak benar dan retorik politik bagi kepentingan pihak tertentu.

Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ketika menghantar memorandum kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) di ibu pejabat syarikat itu di sini pagi tadi.

Beliau berkata, jawapan perlu diberikan berhubung perkara itu bagi mengelak sebarang implikasi negatif kepada orang ramai di Lembah Klang yang bimbang akan krisis tersebut.

“Kita menyerahkan memorandum kepada Syabas dengan menyenaraikaan tujuh isu yang perlu dijawab sebelum kita dapat mengatakan bahawa krisis air ini sebenarnya berlaku. Ketujuh-tujuh isu disenaraikan di sini di mana MTUC dan CAWP mengadakan perbincangan dengan golongan pakar serta ahli akademik yang mahir dalam isu air di mana memberikan kita beberapa panduan.

“Saya minta Syabas memberikan segala jawapan dan maklumat berkaitan malah saya juga meminta kerjasama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bertangungjawab dalam isu krisis air ini supaya mengarahkan Syabas melakukan sebelum 7 Ogos ini,” katanya dalam sidang media.

Antara yang terlibat dalam penyerahan memorandum itu adalah Senator Syed Shahir Syed Mohamud; Setiausaha Kehormat MTUC, Abdul Halim Mansor dan Presiden Aliran, Sarajun Hoda Abdul Hassan.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas, buku log dan meter tentukur yang disahkan, bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

“Saya fikir dalam kes air di Selangor ia bukan lagi penswastaan tetapi kaedah pelanunan (piratisation),” katanya dengan merujuk Syabas hanya memberikan keuntungan kepada pihak tertentu yang berkepentingan.

Memorandum sama akan turut diserahkan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor selepas ini.


Pengarang :