NASIONAL

Lambakan Bendera Umno-BN Di Putrajaya, PKR Buat Aduan

PUTRAJAYA, 5 JUL : PKR akan mengemukakan aduan rasmi kepada pihak pengurusan Perbadanan Putrajaya berhubung lambakan bendera Umno-BN di beberapa kawasan kediaman pusat pentadbiran itu.

Menurut Ketua Cabang PKR Putrajaya, Onn Abu Bakar, pemasangan bendera secara haram itu dikenalpasti di beberapa lokasi berbeza antaranya Presint 9, 11 dan 16 serta beberapa kawasan lain.

Beliau berkata, keadaan itu dilaporkan berlaku sejak sebulan yang lalu dengan membabitkan kawasan perumahan terutama pangsapuri dan kondominium walaupun tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih belum diumumkan.

“Kita minta pihak yang bertanggungjawab untuk tampil memberi penjelasan berhubung pemasangan bendera oleh Umno-BN. Saya anggap perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia menyalahi peraturan.

“Tambahan pula sekarang ini bukannya waktu berkempen, justeru bendera mana-mana parti politik tidak sepatutnya digantungkan di mana-mana tempat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Perbadanan Putrajaya untuk memberi penjelasan berhubung status pemasangan bendera tersebut dengan kadar segera.

Beliau turut memaklumkan akan menghantar aduan rasmi kepada Perbadanan Putrajaya dalam waktu terdekat bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Pihak perbadanan tidak boleh berdiam diri terhadap perkara ini. Mereka mempunyai dua pilihan iaitu sama ada mengarahkan Umno-BN untuk segera menurunkan bendera mereka atau turut sama memberi kebenaran kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk menggantung bendera,” katanya.


Pengarang :