Selangorkini
SELANGOR

MB Beri Duit Kepada Sekolah, Tetapi Dihalang Hadir Majlis Sumbangan

SHAH ALAM, 25 JULAI : Kerajaan Selangor membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menghalang Menteri Besar, menghadiri majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di SMK Sultan Sulaiman, Bestari Jaya baru baru ini.

Tindakan ini membuktikan mereka tidak menghormati tugas dan tanggungjawab Tan Sri Abdul Khalid sebagai seorang wakil rakyat iaitu Adun Ijok.

Ia juga menunjukkan sikap tidak malu JPN yang menerima sumbangan RM 24,000 dari Kerajaan Negeri tetapi tidak sudi Abdul Khalid menghadiri majlis pemberian sumbangan itu.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin berkata, tindakan itu menindas wakil rakyat Pakatan Rakyat kerana jabatan itu tidak pernah menghalang mana-mana wakil rakyat Umno-BN menghadiri program sekolah.

?Jika benar mahu melaksanakan peraturan yang tidak membenarkan ahli politik menghadiri program di sekolah, kuatkuasa kepada semua wakil rakyat dan ahli politik.

?Namun ini tidak berlaku. Sekatan ini hanya dikenakan kepada wakil rakyat dari Pakatan Rakyat. Ini jelas membuktikan Jabatan Pendidikan telah lari dari tanggungjawab penubuhannya dan lebih berminat bermain politik,? katanya.

Minggu lepas Abdul Khalid, sebagai ADUN Ijok tidak dibenarkan untuk menyertai majlis sumbangan ke SMK Sultan Sulaiman di Bestari Jaya walaupun beliau dijemput oleh syarikat yang mahu memberi sumbangan tersebut.

Abdul Khalid juga menyumbang RM 24,000 dari Kerajaan Negeri.

Halangan tersebut dikeluarkan melalui satu pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada kakitangan pejabat DUN Ijok. Menurut SMS itu, Menteri Besar atau mana-mana wakilnya dihalang menghadiri majlis penyerahan sumbangan.

Faekah berkata, Abdul Khalid selaku wakil rakyat Ijok sewajarnya dijemput menghadiri program berkenaan kerana beliau turut memberi sumbangan.
Jelas beliau, program tersebut bukan bermotifkan politik sebaliknya program tanggungjawab sosial.

Beliau berkata, sekatan ini langsung tidak dikenakan terhadap ahli politik UMNO-BN yang secara terang-terangan menghadiri atau menganjurkan program berbaur politik di sekolah.

?Saya juga dimaklumkan pemimpin UMNO di Selangor bebas keluar masuk ke sekolah  untuk menghadiri program. Malah, (Ketua Umno Selangor) Datuk Seri Noh Omar juga mengadakan lawatan ke Jabatan Pendidikan Negeri baru-baru tanpa diketahui atas kapasiti apa.

?Adakah  UMNO-BN tidak lagi mempercayai KEMAS sehinggakan terpaksa mempergunakan Jabatan Pendidikan sebagai mata dan telinga?,?  katanya.


Pengarang :