Selangorkini
NASIONAL

Mukriz Calon MB, Bukti Umno Kedah Lemah

SHAH ALAM 26 JULAI : Kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyatakan bahawa anak mantan Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir merupakan pilihan ramai sebagai bakal calon Menteri Besar Kedah menampakkan pergolakan di antara pemimpin Umno-BN di negeri berkenaan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata kajian yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Rohana Yusof dari UUM itu menunjukkan Umno-BN tidak mempunyai seorang nakhoda yang kuat sehinggakan Mukhriz dipilih.

Katanya, ia menunjukkan isyarat dari kajian itu membuktikan bahawa pimpinan Umno-BN negeri yang sedia ada tidak mampu dan lemah untuk mengemudi atau mengendalikan pentadbiran negeri.

“Beliau (Mukhriz) bukan Adun. Pada masa yang sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Mahdzir Khalid pula tiada ada apa, paling rendah.

“Begitu juga dengan Ketua Perhubungannya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang tidak mendapat sokongan dalam kumpulan mereka. Itu satu perbandingan dalaman bagi Umno-BN sendiri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Kajian itu dibuat membandingkan siapa yang menjadi pilihan rakyat Kedah di antara Mukhriz dan tiga lagi pemimpin Umno-BN Kedah iaitu Ketua Perhubungan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua Penerangan, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas lanjut berkenaan janji Pakatan Rakyat, Nasir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata sebanyak 80 peratus janji itu sudah ditunaikan dalam tempoh empat tahun pentadbiran Pakatan.

“Di Kedah, kita sudah menunaikan 80 peratus janji kita. Malah tiada dalam manifesto turut dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya, ia satu pencapaian yang luar biasa walaupun negeri menghadapi kekangan kewangan dan dibebani hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran Umno-BN sebelum itu.

“Walaubagaimanapun, ia satu cabaran bagi kita, kita akan mencuba melaksanakan janji yang masih belum ditunaikan dan kita juga akan persiapkan jentera kita untuk menghadapi PRU-13 akan datang,” katanya.


Pengarang :