Selangorkini
SELANGOR

Pengasingan Penonton Di Panggung Wayang Hanya Cadangan


SHAH ALAM, 11 JULAI : PAS Selangor menafikan peraturan mengasingkan penonton wanita dan lelaki Islam bukan muhrim telah dikuatkuasakan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagi semua premis panggung wayang di daerah itu.

Sebaliknya, cadangan dikemukakan Ahli Majlis dari parti Islam itu adalah cadangan supaya MDKS mengarahkan semua premis hiburan itu meletakkan notis peringatan bagi menyedarkan penonton supaya menjaga akhlak dan tidak melakukan perkara menjolok mata.

Dalam sidang media di Dewan Annex di sini hari ini, Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman mendakwa perkara pengasingan jantina itu timbul seolah-olah dipolitikkan pihak BN bagi menggangugugat hubungan erat antara PAS dan DAP.

Malah, katanya, cadangan dikemukakan itu juga bukan permulaan kepada pengenalan hukum hudud yang diperjuangkan PAS selama ini.

Beliau berkata, biarpun cadangan itu disuarakan Ahli Majlis MDKS dari PAS tetapi ia belum dibawa ke mesyuarat penuh majlis itu malah Exco kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu turut menjelaskan perkata itu masih ditangguhkan.

“Sebenarnya kita perlu kembali kepada asas iaitu dengan meningkatnya kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan semuanya maka timbul kesedaran di kalangan orang Islam dan bukan Islam yang risau kalau ada perkara yang mendorong ke arah perlakuan yang kurang atau tidak baik di kalangan masyarakat.

“Atas dasar itu kita tidak mahu perkara sebegini berlaku bukan sahaja orang Islam malah bukan Islam juga,” katanya.

Kenyataan itu disokong MP Shah Alam, Abdul Khalid Samad dengan menyatakan isu itu dimainkan MCA dalam akhbar Cina iaitu ingin mewujudkan satu benteng supaya menghalang masyarakat Cina meneruskan sokongan kepada Pakatan Rakyat (Pakatan).

Menurutnya, pengunjung panggung wayang perlu menghormatinya sebagai kawasan awam dengan menjaga kelakuan dan bersopan.

“Bukan setakat wanita dan lelaki Islam yang belum kahwin tetapi juga yang telah kahwin juga perlu menjaga akhlak mereka malah orang bukan Islam juga tidak suka perkara yang tidak diingini berlaku dan dipertontonkan di kawasan awam,” katanya.

MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, BN tidak seharusnya mempolitikkan perkara sebegitu kerana isu pengasingan penonton tersebut tidak berlaku di Kuala Selangor.

Jelasnya, hanya cadangan dikemukakan dan perbincangan akan dijalankan oleh MDKS di mana keputusan mengenainya belum diputuskan.


Pengarang :