SELANGOR

Pusat Budaya Di Klang Pelihara Warisan Komuniti


KLANG, 01 JULAI : Dalam usaha memperkasakan pembangunan di Klang, Kerajaan egeri Selangor akan menubuhkan tiga pusat kebudayaan di sepanjang Sungai Klang dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Pusat kebudayaan yang merangkumi tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India itu bertujuan mengembalikan kegemilangan bandar diRaja Klang sebagai kawasan bersejarah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lokasi bagi ketiga-tiga pusat kebudayaan itu telah dikenalpasti, iaitu Bandar Klang (Taman Kebudayaan Cina), Kampung Pandan (Taman Kebudayaan India) dan Kampung Kuantan (Taman Kebudayaan Melayu).

“Pembinaan pusat kebudayaan di Klang ini adalah sejajar dengan misi dan visi kerajaan Selangor untuk menambahbaik pembangunan Klang yang agak ketinggalan berbanding daerah lain di negeri ini.

“Ia juga adalah salah satu inisiatif permulaan untuk menunjukkan bagaimana kemajuan di daerah ini dapat dilakukan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Pusat Kebudayaan Negeri Selangor di AEON Bukit Raja, di sini semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan barisan exco Selangor yang terdiri daripada Rodziah Ismail, Elizabeth Wong, Dr Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Yaakop Sapari dan Ronnie Liu.

Pameran yang berlangsung selama lima hari bermula 27 Jun hingga 1 Julai itu mempamerkan warisan kebudayaan sebagai salah usaha untuk menghayati dan mendekati adat resam pelbagai kaum.

Pada majlis sama, kerajaan negeri turut mengedarkan borang soal selidik maklumbalas kepada pengunjung  untuk digunapakai dalam menjana penambahbaikan pembangunan di Sungai Klang.

Tambah Abdul Khalid, pusat kebudayaan itu dapat menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara selain memelihara warisan untuk generasi akan datang.

“Setiap pandangan daripada rakyat memberi makna besar kepada pembangunan di negeri ini. Pembangunan hanya dapat dilakukan jika kita saling bekerjasama,” ujarnya.

 


Pengarang :