Selangorkini
NASIONAL

SUARAM Dakwa Serbuan SSM Untuk Intimidasi

SHAH ALAM, 3 JULAI : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mendakwa pemeriksaan yang dilakukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di premisnya hari ini dipercayai berikutan beberapa pendedahan tentang skandal pembelian senjata dari Perancis oleh Kerajaan Pusat.

Pengerusinya, K Arumugam yakin tindakan SSM itu ada kaitan dengan pendedahan SUARAM yang kini mendapat perhatian umum.

“SSM kata pemeriksaan dilakukan hari ini untuk menyemak penyata akaun SUARAM dan kita beri kerjasama. Bagaimanapun waran dibawa tidak sah dan mereka kata akan datang lagi esok.

“Saya rasa tindakan mereka ini macam satu “intimidation” (ugutan) terhadap SUARAM,” katanya apabila dihubungi.

Beberapa pegawai SSM datang melawat pejabat SUARAM hari ini, tetapi mereka balik apabila didapati waran mereka tidak sah.

Sebelum ini SUARAM mendapat perhatian selepas mendedahkan skandal pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan Malaysia semasa ia diterajui Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang kini Perdana Menteri.

Antara pendedahan yang mendapat perhatian yang meluas sehingga menjadi kes mahkamah di Perancis adalah pembayaran komisyen syarikat Perimekar kepunyaan bekas pembantu khas Najib, Abdul Razak Baginda kepada pembuat kapal Perancis DCNS.

Najib dan Abdul Razak juga dikaitkan dengan proses pembelian dua kapal selam Scorpene yang didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Arumugam berkata tidak timbul masalah SUARAM didaftarkan sebagai syarikat kerana ia masih bergerak sebagai satu pertubuhan hak asasi manusia.

Tambahnya, SUARAM beroperasi mengikut peraturan dengan melantik barisan exco dan ahli jawatankuasa serta mengemaskini penyata akaunnya dari masa ke semasa.

“Kalau datang dengan tujuan nak tutup (batalkan) SUARAM, saya rasa tak boleh kerana SUARAM hanya gunakan pendaftaran itu sebagai platform untuk bergerak dengan mengikut segala peraturan,” katanya.

 


Pengarang :