Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

SUKMA : Selangor Rangkul Empat Emas Karate

SHAH ALAM, 5 JUL : Kontinjen Selangor berjaya meraih empat daripada 16 pingat emas dalam acara karate pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), 2 Julai lepas.

Ketua Unit Korporat Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Rohaya Yahya memaklumkan, pingat emas pertama Selangor dimenangi atlet wanita Ilavarasi a/p Mohan bagi kategori karate-do tidak melebihi 55 kilogram (kg).

Manakala tiga emas lagi diperoleh menerusi Sharmendran a/l Raghonath dalam kategori sama bawah 67 kg lelaki, Syakilla Salni Jefry Khisnam dalam kategori wanita tidak melebihi 61 kg dan Senthil Kumaran a/l Sivarajoo untuk lelaki bawah 55 kg.

Selepas empat hari temasya Sukma Pahang 2012 berlangsung, Pulau Pinang masih kekal di kedudukan teratas senarai pungutan emas dengan meraih lima emas dan tiga gangsa, walaupun gagal menambah sebarang koleksi pingat, semalam.

Sementara Selangor masih kekal di tangga kedua dengan empat emas, tiga perak dan tiga gangsa, manakala Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan tiga emas, empat perak dan tujuh gangsa.

Sukma Pahang yang berlangsung dari 7 hingga 16 Julai menawarkan 377 pingat emas, 377 perak, 453 gangsa. Ia berlangsung di tiga daerah iaitu Pekan, Temerloh dan Kuantan dengan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai dari 15 kontinjen termasuk Brunei.


Pengarang :