Selangorkini
NASIONAL

Tarikh Pilihan Raya Najib, Muhyiddin Tidak Sepakat

SHAH ALAM 16 JULAI : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU13) sesuai diadakan tahun ini ternyata bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini membayangkan akan mengadakan pilihan raya sehingga mandat berakhir.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kenyataan dibuat Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri mendedahkan kepada umum betapa pemimpin Umno-BN bercanggah pendapat dalam perkara ini.

Ini disebabkan, dakwanya, Perdana Menteri sendiri tidak pernah mengatakan atau memberi gambaran bila pilihan raya akan diadakan.

Sehubungan itu, ia menimbulkan masalah kepada rakyat dan mereka boleh menilai perkara itu termasuk soal pendirian pemimpin negara dari Umno-BN.

“Kenyataan dibuat Timbalan Perdana Menteri dalam perkara ini jelas berbeza dengan apa yang diperkatakan Perdana Menteri, jadi ia kini menjadi teka teki di kalangan rakyat bila tarikh pilihan raya yang sebenarnya. Pemimpin dalam Umno-BN sendiri tidak sekata dalam isu ini,” katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Tian Chua berkata, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan perkara itu dan satu ketetapan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat di negara ini.

“Maka kini ia menimbulkan persoalan atau masalah kepada rakyat yang sepatutnya maklum bila pilihan raya itu akan diadakan supaya tidak timbul keraguan sama ada ia diadakan pada tarikh tertentu atau ketika tempoh matang pentadbiran berakhir,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tarikh pilihan raya itu ditetapkan bila akan dijalankan maka ia akan memudahkan semua pihak terlibat termasuk parti politik, pihak berkuasa, jabatan dan agensi kerajaan serta rakyat sebagai pengundi.

Di Malaysia tarikh pilihan raya menjadi satu misteri dan keputusannya secara mutlak terletak kepada kehendak Perdana Menteri.


Pengarang :