Selangorkini
SELANGOR

Tiada Pertindihan Kuasa Antara Exco Dan Ahli Perbadanan PKNS

SHAH ALAM, 4 JULAI : Tidak wujud pertindihan kuasa antara jawatankuasa Exco dan Ahli Perbadanan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), tegas Ketua Pegawai Integriti PKNS, Norita Mohd Sidek.

Norita berkata, PKNS diterajui oleh Ahli Perbadanan yang dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Enakmen PKNS.

Ahli-ahli jawatankuasa Perbadanan adalah seimbang dengan wakil-wakil daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

“Penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sekarang ialah melantik Ahli Perbadanan Bebas yang profesional bagi memastikan proses membuat keputusan dibuat secara profesional.

“Manakala wakil Kerajaan Pusat pula terdiri daripada dua orang wakil yang dilantik oleh Kementerian Kewangan dan seorang wakil yang dilantik oleh Jabatan Perdana Menteri,” kata Norita dalan kenyataan media.

Tambah Norita, bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran PKNS, Ahli-ahli Perbadanan telah menubuhkan beberapa jawatankuasa peringkat Perbadanan.

Ia meliputi Jawatankuasa Kewangan, Jawatankuasa Tender, Jawatankuasa Perjawatan dan Tatatertib, Jawatankuasa Exco, Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti.

“Jawatankuasa Audit dipengerusikan oleh mantan Ketua Akauntan Negara dan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti pula dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Kesemua jawatankuasa ini mempunyai bidang kuasa masing-masing namun semua keputusan yang dibuat di peringkat jawatankuasa perlu diluluskan di dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan PKNS dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Pengerusi Ahli Perbadanan.


Pengarang :