NASIONAL SELANGOR

Demo Bantah Kegagalan SYABAS Urus Air Di Selangor

KAJANG 13 OGOS : Majoriti rakyat Selangor berpuashati dengan pertadbiran Kerajaan Negeri yang cekap dan pantas dalam menangani pelbagai masalah termasuk krisis air yang didakwa berlaku di negeri ini.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) jelas memberi perhatian akan kepentingan rakyat dengan memberi air sebanyak 20 meter padu secara percuma.

Menurutnya, pendekatan itu adalah tepat kerana air adalah sumber semulajadi dan hak semua rakyat.

Maka dengan itu, katanya, rakyat menyatakan sokongan apabila Kerajaan Negeri berusaha mengambilalih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana tindakan itu adalah tepat.

“Dalam satu dua minggu ini di beberapa kawasan semenyih berlaku gangguan air. Kita bimbang akan perkara ini kenapa tiba-tiba ada paip air yang pecah. Kerana Syabas nak buat catuan air tambahan pula pada bulan puasa.

“Ini adalah sabotaj dari segi politik kerana kita ada bukti yang jelas kerana ada pemotongan air di kawasan itu dan rakyat berasa marah. Bila kita mengadu akan hal ini, air akan diberikan balik pada waktu malam iaitu kira-kira jam 10 malam. Ini menyusahkan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas sesi demonstrasi di hadapan pejabat Syabas di sini hari ini.

Demonstrasi anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) itu dihadiri kira-kira 100 peserta mendapat perhatian orang ramai yang lalu lalang di laluan itu dengan kebanyakan kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Adun Kajang, Lee Kim Sin berkata, Kerajaan Negeri sudah bersedia untuk mengambilalih pengurusan Syabas kerana memang berkemampuan berbuat demikian.

Menurutnya, dengan hasil kajian serta rujukan daripada pihak profesioanal yang pakar dalam perkara itu, Kerajaan Negeri mampu mengatasinya dengan perancangan alternatif yang lebih menguntungkan rakyat.

“Projek Rawatan Air Loji Langat 2 sebenarnya adalah satu penyelewengan wang rakyat di mana ianya menelan belanja lebih RM8 bilion. Penghantaran air dari Pahang tidak perlu dan memang satu pembaziran. Bukan setakat memburukkan keadaan semulajadi tetapi membazirkan wang.

“Malah bekas menteri, Lim Keng Yeik juga tidak bersetuju dengan projek ini dijalankan tetapi terpaksa akur dengan arahan diberikan kepadanya,” katanya.

Lee seterusnya berkata, masalah bekalan air mentah tidak berlaku di Selangor kerana ianya lebih dari mencukupi.

Maka, katanya, projek untuk menyalurkan air mentah dari negeri lain ini tidak perlu untuk tujuan tersebut.


Pengarang :