NASIONAL SELANGOR

Dr Xavier : Peter Chin Berbohong Kos Sebenar Projek Langat 2

SHAH ALAM, 5 OGOS: Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar telah menuduh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Peter Chin Fah Kui berbohong tentang kos pembinaan loji Langat 2 dan projek menyaluran air mentah dari Pahang.

Dr Xavier berkata, harga yang disebut kerajaan Selangor bagi projek tersebut iaitu RM 8.65 bilion, merupakan harga yang diberitahu oleh Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Air, KeTTHA di Forum Air yang diadakan pada 12 Julai lalu.

Menurut Dr Xavier, Peter Chin juga tidak menerangkan yang Selangor terpaksa bayar RM 60 juta kepada Pahang pada setiap tahun jika untuk projek pemindahaan air itu.

“Apakah Peter Chin takut rakyat mempersoalkan projek mega bernilai RM 8.65 bilion ini terlalu mahal untuk dibelanjakan Kerajaan Pusat. Sambil beliau memindanya kepada angka RM 6.225 bilion agar rakyat merasakan kosnya lebih munasabah?

“Angka yang Kerajaan Negeri berikan bukanlah rekaan semata-mata, bahkan laporan yang dipetik dari sumber Bernama melaporkan kos projek itu ialah RM 8.9 billion,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Peter pernah mempersoalkan harga RM 8 bilion untuk Langat 2 dan projek pemindahan air tersebut dengan mengatakan ianya hanya RM 6 bilion.

Dr.Xavier turut mempertikaikan mengapa kerajaan pusat lebih berfikir tentang kepentingan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berbanding dengan rakyat Selangor.

Syabas telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus bekalan air terawat di Selangor tetapi kerajaan negeri tidak berpuashati dengan prestasi syarikat itu dan mahu pengurusan air dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, KeTTHA seolah-olah berperanan menjadi ‘jurucakap’ bagi mempertahankan Syabas dengan bermati-matian mematahkan setiap hujah dan penerangan yang dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa ahli Exco Selangor berkaitan isu air ini.


Pengarang :