Selangorkini
Uncategorized

LKS Cadang Anugerah ‘Atlet Malaysia Sepanjang Zaman’ Kepada Chong Wei

SHAH ALAM 6 OGOS : Jaguh perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei harus diberi penganugerahan sebagai ‘Atlet Malaysia Sepanjang Zaman’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 55 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September depan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata beliau perlu diberi penghormatan kerana memenangi dua pingat Perak untuk negara dalam pertandingan perseorangan badminton di temasya Olimpik 2008 Beijing dan Olimpik 2012 London.

Katanya, walaupun beliau gagal merangkul pingat emas untuk negara tetapi pencapaiannya itu merupakan satu pencapaian yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana rakyat Malaysia.

“Chong Wei tetap wira yang tidak boleh dipertikaikan. Rakyat Malaysia amat kecewa dengan kegagalan Chong Wei memenangi pingat emas malam semalam.

“Walaubagaimanapun, tiada siapa yang lebih kecewa daripada Chong Wei sendiri kerana beliau telah menunjukkan satu usaha berani dan komitmen yang tinggi dalam perlawanan menentang pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China.

“Atas sebab itu, penghormatan itu perlu diberi oleh Yang Di Pertuan Agong pada sambutan itu. Ia akan menjadi istimewa dan unik untuk rakyat Malaysia meraikannya sebagai rakyat yang bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau menambah, dengan penghormatan itu, sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kesan cubaan memecah belahkan rakyat oleh Umno-BN.

Katanya, ia dapat dilihat melalui penggunaan tema “Janji Ditepati” sebagai tema sambutan hari bersejarah itu bagi tahun ini.

Bagaimanapun, tema yang ‘mengerikan’ akan tetap digunakan sebagai slogan sambutan hari kemerdekaan ke-55 negara ini kerana ia keputusan bersama yang dibuat oleh kabinet, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim.

“Dalam lirik lagunya pula, secara terang-terangan, Umno-BN suka mengungkit lebih lagi pada lirik ‘Janji sudah ditepati, Kini masa balas budi’.

“Tema dan lirik lagu itu hanya sebagai kempen pilihanraya dan ia menunjukkan mereka tidak sensitif serta pemikiran yang sempit walaupun sudah 55 tahun negara Merdeka. Sudah tiba masa untuk menukar corak pemerintahan,” katanya.


Pengarang :