Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Menteri Besar Antara 40,000 Ribu Hadir Munajat Perdana Ramadan

SHAH ALAM 13 OGOS : Hampir 40,000 jemaah hadir memenuhi setiap penjuru Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menyertai program Munajat Perdana Bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ustaz Azhar Idrus.

Program ini dianjurkan bersempena sambutan Hari Belia Sedunia Peringkat Negeri Selangor selain menyemarakkan lagi semangat menjalani ibadah puasa menjelang 10 hari terakhir Ramadan.

Munajat Perdana dimulakan dengan solat sunat Tahajjud sebanyak 8 rakaat dan diikuti solat sunat Hajat serta selingan zikir munajat yang dipimpin oleh Imam Masjid Shah Alam, Sheikh Abdulkarim Omar.

Juadah bersahur turut disediakan kepada jemaah sebelum menunaikanj Solat Subuh dan diikuti majlis tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Azhar Idrus.

Hadir sama, Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengarah Jais, Marzuki Hussin dan beberapa kenamaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, kesungguhan dan komitmen Kerajaan Selangor dalam menyemarakkan penghayatan Ramadan mendapat reaksi memberangsangkan terutama daripada golongan belia yang hadir.

Bagi Mohd Zulkiflee M M Aboo Jubar, 25, program sebegini merupakan satu usaha yang baik dalam meningkatkan semangat anak muda untuk menghayati kehadiran Ramadan selain mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Alhamdulillah julung kalinya saya dapat merasai suasana bermunajat bersama jemaah yang begitu ramai sebegini. Nyata usaha yang dilakukan kerajaan Selangor merupakan langkah yang baik dan diharapkan pada masa akan datang lebih banyak program penghayatan Islam terutama bagi golongan belia,” katanya.

Reaksi berbeza dilontarkan oleh Mazlan Mansor, 24, yang melihat fenomena kebangkitan anak muda yang semakin ingin mendekatkan diri menghayati cara hidup Islam.

“Golongan belia terlalu banyak disajikan dengan hiburan tidak bermanfaat. Kehadiran pagi ini merupakan isyarat jelas anak muda masih ingin memperjuangkan Islam. Jika dahulu, penyertaan anak muda untuk program sebegini kita boleh jangkakan. Namun kini, anak muda berada di barisan hadapan bila menuntut ilmu,” katanya.

Sementara itu, Tajul Izwan Razak, 30, percaya jika program sebegini diperbanyakkan, sekurang-kurangnya pembentukan sahsiah anak muda dapat dididik dengan baik.

Menurutnya lagi, kepercayaan rakyat kepada Kerajaan Selangor juga semakin bertambah dengan penganjuran program-program bermanfaat untuk semua.

 


Pengarang :