Selangorkini
SELANGOR

P. Pinang Lulus RM 2 Juta Bantuan Pendaftaran Ke-IPTA

SHAH ALAM 10 OGOS : Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited melaksanakan program bantuan wang pendaftaran kepada pelajar-pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Memetik ucapan Ketua Menteri yang diemel kepada TVSelangor, Lim Guan Eng berkata tahun ini, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM 2 juta bagi meringankan beban pelajar-pelajar dan ibu bapa.

“Barisan kepimpinan Pulau Pinang akan terus berusaha membina masa depan yang cerah demi masa depan rakyat semua.

“Saya sangat berharap agar anak-anak yang berjaya kelak kembali ke Pulau Pinang bagi mencurahkan bakti kepada negeri ini,” ucapnya dalam Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran ke IPTA Peringkat Diploma 2012 di Komtar pagi ini.

Program bantuan yang memasuki tahun kedua ini menyaksikan seramai 298 pelajar peringkat Diploma layak menerima bantuan sebanyak RM 1000 setiap seorang.

Permohonan i-BiTA (sistem permohonan bantuan ke institut pengajian tinggi awam) bagi pelajar peringkat Diploma dibuka pada 16 Mei sehingga 22 Jun lalu manakala bagi pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda pendaftaran dibuka bermula 8 Ogos sehingga 30 September nanti.

Tahun lalu, seramai 2009 orang pelajar menerima manfaat daripada program ini dengan peruntukan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM 2, 009, 000.

Selain program ini, tambah Guan Eng, lebihan bajet juga membolehkan Kerajaan Negeri mewujudkan pelabagai program kebajikan lain seperti Penghargaan Warga Emas, Bantuan Ibu Tunggal, Bantuan Orang Kurang Upaya dan Anak Emas Pulau Pinang.

“Saya yakin selagi Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), selagi itulah kebajikan rakyat akan terus terjaga,” tegasnya.


Pengarang :