Selangorkini
SELANGOR

Aidilfitri Tidak Lengkap Dirai Tanpa Kasih Ayah dan Ibu

PETALING JAYA, 8 SEPT : Syawal diselubungi dengan suasana sayu dan perasaan tidak lengkap apabila ia dirayakan tanpa orang yang paling disayangi.

Anak-anak yatim yang kehilangan ayah dan ibu meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan persiapan ala kadar dan pasrah menerima ketentuan takdir.

Itulah pengalaman yang diceritakan oleh anak-anak yatim yang ditemui TVSelangor di Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini baru baru ini.

Rata-rata mereka teruja beramah mesra dan diraikan dalam suasana ceria sambil diberikan duit raya oleh Datuk Bandar MBPJ, Roslan Sakiman.

Bagi Mohd Faiz Shah, 15, yang kehilangan ayah akibat penyakit kanser paru-paru, suasana hari raya yang diraikan seolah-olah dengan sesuatu dan tidak lengkap.

“Hari raya macam kurang sesuatu dan tidak berasa seronok. Kini segalanya digalas oleh ibu saya dalam menyediakan segala persiapan raya.

“Saya harap program-program ini diteruskan pada setiap tahun bagi menceriakan anak-anak yatim. Memang seronoklah dapat pergi program rumah terbuka raya seperti ini,” katanya.

Mohd Fikri Shah, 13, berkata beliau berasa sedih kerana persiapan yang biasa dilakukan setiap Syawal seperti memasak juadah raya dilakukan tanpa kehariran ayahnya.

“Pada 1 Syawal saya menziarahi kubur ayah dan apabila menonton iklan anak yatim di televisyen itu , saya amat sedih mengenangkannya,” katanya.

Manakala bagi Norhaslina Johan, 14, beliau sudah merayakan Aidilfitri tanpa ayah sejak tujuh tahun lepas.

“Sedih sangat beraya tanpa ayah,selepas kehilangan ayah segala-galanya tanggungjawab dipikul oleh ibu dalam menyediakan segala persiapan hari raya,” ujarnya.

Mohd Izwan Abdul Latif, 13, berasa Syawal kali ini amat berlainan daripada sebelumnya apabila baru sahaja kehilangan seorang ayah yang mengidap penyakit.

“Suasana hari raya kurang suasana gembiranya, kali ini raya bersama atuk di Banting.

“Persiapan raya kali ini kurang, manakala emak kena bekerja untuk menanggung keluarga. Jadi persiapan itu sederhana dan sekadar apa yang mampu,” katanya.

Dalam majlis itu ,seramai 100 anak yatim dari sekitar daerah Petaling Jaya menerima sumbangan duit raya dari MBPJ dan Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan MBPJ,Aznan Hassan.

Kira-kira 400 tetamu daripada pelbagai bangsa hadir dalam majlis rumah terbuka itu.


Pengarang :