Selangorkini
NASIONAL

Anwar : Kroni Umno-BN Semakin Kaya, Kehidupan Rakyat Tidak Berubah


CHERAS, 9 SEPT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat memberikan kontrak penswastaan jutaan ringgit kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

Dakwanya, Datuk Seri Najib Razak adalah seorang Perdana Menteri yang penakut dan lebih mementingkan kroni berbanding memperbaiki kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Sekarang saya nak tanya Najib sebagai Perdana Menteri, kamu ada kuasa, sebab apa kamu takut sangat dengan Tan Sri Syed Mokhtar.

“Apa dia minta semua kamu bagi, gula, beras, KTMB, elektrik IPP, Proton, pelabuhan Tanjung Pelepas semua kamu bagi kepada Tan Sri Syed Mokhtar.

“Kalau kita nak tolong Bumiputera, tidak bolehkah kita beri kepada anak melayu lain yang lebih layak supaya kekayaan negara dapat dimanfaatkan sebetulnya kepada rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian di dalam ucapannya di Majlis Rumah Terbuka MP Bandar Tun Razak Tan Sri Khalid Ibrahim di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak hari ini.

Baru-baru dilaporkan bahawa Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan cadangan daripada syarikat Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) untuk mengambilalih operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Syed Mokhtar, menerusi beberapa syarikatnya, menguasai lapangan terbang Senai, Port of Tanjung Pelepas (PTP) dan pelabuhan Pasir Gudang.

Laman web The Malaysian Insider melaporkan beliau juga mempunyai kaitan dengan sebuah konsortium yang dianugerahkan projek keretapi dalam bandar MRT.


Pengarang :