NASIONAL SELANGOR

Cat Cuma Dua Pangsapuri, Ong Tee Keat Lebih Dwi Standard

SHAH ALAM 25 SEPT : Adun Teratai, Jenice Lee membidas kenyataan Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung dakwaan Kerajaan Negeri dwi standard dalam melaksanakan pembangunan di kawasan Ampang.

Sebaliknya kata Jenice, Ahli Parlimen Pandan itu yang mengamalkan dwi standard kerana hanya memilih dua pangsapuri di hadapan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) untuk dicat semula, baru-baru ini.

“Sekiranya beliau tidak mengamalkan dwi standard dan pilih kasih mengapa beliau (Ong Tee Keat) tidak membantu pangsapuri yang lain, mengapa hanya dua pangsapuri yang dipilih?

“Beliau yang lebih jelas dwi standard. Lihat sahaja Kerajaan Negeri, kita tidak memilih, semua kita baik pulih menerusi program ceria,” katanya ketika dihubungi.

Ong Tee Keat yang juga bekas Menteri Pengangkutan sebelum ini mendakwa penurapan jalan di sekitar Ampang dilakukan secara tidak menyeluruh.

Mengulas lanjut, Jenice menjelaskan, kerja-kerja penurapan jalan dilakukan berdasarkan keperluan dan aduan penduduk.

Malah, kerja-kerja itu dilakukan secara berperingkat.

“Beliau langsung tidak faham polisi dan dasar Kerajaan Negeri. Kita buat macam itu supaya duit rakyat tidak dibazirkan.

“Sebelum Pakatan Rakyat (PR) pegang Kerajaan Negeri, Umno-BN pun memang polisinya begitu. Jadi apa masalahnya?” soalnya.


Pengarang :