Selangorkini
SELANGOR

‘Masjid Angkat’ Bawa Belia Dekati Rumah Allah

 

BESTARI JAYA 23 SEPT : Kerajaan Negeri kini lebih inovatif dalam usaha menggerakkan anak-anak muda mendekati masjid dengan program melibatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di setiap DUN.

Antaranya, Kerajaan Negeri memperkenalkan program ‘Anak Muda Dekati Masjid’ di mana setiap PeBT harus mempunyai sebuah ‘masjid angkat’ untuk dijaga dan diselenggara dengan baik.

Hari ini bertempat di Masjid Al-Awwabin, kira-kira 50 orang belia mula berkumpul untuk kerja-kerja menaik taraf tandas masjid bermula seawal 8 pagi tadi.

“Saya selaku warga belia rasa seronok dan ringan untuk melakukan aktiviti sebegini.

 

“Bukan sahaja dapat berbakti dengan masjid yang kami kunjungi, tetapi ia juga mampu memberi keselesaan pada jemaah dan musafir yang singgah,” ujar Pengerusi PeBT Zon 4E, Mohd Nadzril Beedin, 28.

Beliau menambah, segala peruntukan menaik taraf tandas tersebut dibiayai Kerajaan Negeri di bawah seliaan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Sementara itu, Nazir Masjid Al-Awwabin, Mohamad Ariffin,58, memuji penganjuran program tersebut yang disifatkan sebagai usaha menarik minat anak muda ke masjid.

“Sekurang-kurangnya orang tidak boleh kata lagi, masjid hanya untuk mereka yang berusia.

“Adanya program seumpama ini, anak muda pun sudah boleh melibatkan diri dengan aktiviti masjid, ini sememangnya yang digalakkan agama (Islam) kita,” ujarnya yang sudah lebih sepuluh tahun berkhidmat di masjid tersebut.

Turut diadakan ialah program gotong-royong membersihkan kawasan masjid yang disertai Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi selain penduduk dan pelajar-pelajar daripada Sekolah Menengah Teknik Kuala Selangor.


Pengarang :