Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MB : Ibu Bapa perlu Ambil Berat Pendidikan Rohani Anak-Anak

 

BALAKONG 17 SEPT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengingatkan ibu bapa untuk mengambil berat pelajaran anak-anak terutama pendidikan rohani dan modal insan demi menjana kesinambungan kemajuan negeri ini di masa hadapan.

Beliau menyampaikan amanat tersebut ketika memberi ucapan sewaktu mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Sekolah Rendah Agama Taman Tun Perak di sini petang tadi.

Tambahnya, selain pendidikan jasmani dan kifayah, pendidikan rohani yang kukuh pada setiap anak-anak juga penting bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, terlalu banyak anasir-anasir yang tidak sihat yang hanya boleh ditangani melalui keteguhan jati diri rohani dan pendidikan Islam yang kuat.

“Anak-anak yang mempunyai asas pendidikan rohani yang baik juga pasti mempunyai kefahaman, kepercayaan dan terlatih untuk tidak terlibat dengan sesuatu yang merosakkan.

“Kesemua kriteria ini penting bagi menjamin harta negeri Selangor di masa hadapan ini adalah yang terbaik untuk menyokong pembangunan negeri kelak,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Ini merupakan kali ketiga Menteri Besar melakukan lawatan kerja rasmi ke sekolah berkenaan, kali pertama pada 2008 ketika proses awal mewartakan tanah dijalankan serta kali kedua pula pada 2010 ketika sekolah memulakan pembinaan.

SRA Taman Tun Perak ini siap dibina pada April tahun ini dan mula digunakan untuk sesi pembelajaran pada Jun lalu dengan pendaftaran seramai 284 murid.

Sekolah ini menelan belanja melebih RM7 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ia mempunyai 30 bilik darjah yang mampu menempatkan 1, 200 pelajar dalam satu sesi selain turut dilengkapi kemudahan fasiliti lain seperti perpustakaan, surau, bilik guru berasingan lelaki dan perempuan, bilik kesihatan serta kantin.

Kira-kira 1000 tetamu yang hadir memeriahkan lawatan rasmi tersebut turut berpeluang menikmati jamuan dengan lebih sepuluh gerai makanan disediakan.


Pengarang :