SELANGOR

MB : KeTTHA Didakwa Ingkari Tanggungjawab Penuhi Kepentingan Awam

SHAH ALAM, 26 SEPT : Kerajaan Selangor mendakwa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengingkari tanggungjawab untuk melibatkan diri dalam usaha mengambil alih operasi bekalan air terawat di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tanggungjawab in seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) Akta Perkhidmatan Air.

Menurut Bahagian 7 (Pemindahan Perniagaan) Akta tersebut tiada sesiapa berhak membuat perjanjian atau perkiraan yang akan mengakibatkan pertukaran dalam kawalan, penjualan, pelupusan atau pindah milik.

Sebarang penyatuan, percantuman atau penyusunan semula pemegang lesen juga tidak boleh dibuat melainkan dengan kelulusan Menteri. Menteri tersebut adalah Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (Span) juga didakwa menyalahguna budi bicara apabila memberi tempoh lanjutan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk beroperasi dari bulan ke bulan.

Tindakan ini jelasnya memperlekeh kewajaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan supaya mematuhi kemahuan Kerajaan Negeri Selangor.

“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan telah menerima cadangan penyusunan holistik dan merupakan pemegang Saham Emas dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), maka wajar syarikat konsesi lain menerima tawaran yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri,? kata Abdul Khalid Kepada pemberita.

“Sekiranya syarikat konsesi tidak bersetuju dengan tawaran yang akan dikemukakan, mereka boleh merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa dan Kerajaan Negeri akan akur apa jua keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan.”

Abdul Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan menjemput Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Beliau berkata, perbincangan itu dijangka akan membawa keputusan positif kepada industri air negeri serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya akan memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin bahawa usaha penyelesaian penyusunan industri air secara holistik di Selangor masih terbantut akibat sikap berdolak dalih syarikat konsesi dan keengganan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan kuasa-kuasa berkanun di bawah Akta 655,” ujarnya.


Pengarang :