Selangorkini
SELANGOR

MBPJ Peruntuk RM5 Juta Atasi Kesesakan Lalulintas

PETALING JAYA 27 SEPT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM5 juta bagi mengubahsuai dan membina semula beberapa laluan jalan raya di bandaraya Petaling Jaya bagi melancarkan kesesakan lalu lintas yang berlaku.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata antara laluan terlibat adalah Jalan Utara, Jalan Barat, Jalan Timur dan Jalan Sultan.

“Kita sedang dalam perancangan untuk mengsehalakan semua laluan ini untuk memudahkan lagi perjalanan. Ia akan lebih melancarkan perjalanan trafik di bandaraya ini.

“Untuk tujuan itu satu dialog akan diadakan dengan perunding dan pihak berkepentingan bagi mencapai kata putus,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MBPJ di sini semalam.

Majlis dialog tersebut dijangka dilangsungkan di Dewan Sivik MBPJ pada 18 Oktober depan.

Mohamad Roslan berkata, dialog itu diadakan kerana terdapat pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dalam perkara itu.

“Bila ada yang setuju dan tidak bersetuju, kita buat dialog dan pihak perunding dilantik MBPJ akan memberikan penerangan kepada mereka ini.

“Dari laporan perunding projek ini akan menjimatkan masa perjalanan dan memudahkan semua. Ini sesuatu yang baru bagi kita di bandaraya ini,” katanya.

Menurutnya, MBPJ merancang laluan sehala kerana semakin lama keadaan jalan raya di Petaling Jaya mengalami kesesakan yang teruk berikutan pertambahan bilangan kenderaan.

Bagi pembinaan laluan pejalan kaki di Jalan Semangat pula, beliau berkata MBPJ akan mengkaji perkara itu kerana sebelum ini projeknya tidak mendapat kelulusan.

“Kita akan kaji balik mengikut keperluan dan ini termasuk yang lain seperti di Jalan Harapan dan sebagainya,” ujarnya.


Pengarang :