Selangorkini
SELANGOR

Peniaga Sambut Baik Cadangan Bina Bangunan Lebih Selamat


KUALA SELANGOR, 19 SEPT: Peniaga di sekitar Pantai Remis, Jeram di sini boleh menarik nafas lega setelah Majlis Daerah Kuala Selangor bercadang membina premis perniagaan yang lebih selamat bagi mereka.

Mereka juga merasakan premis yang tetap dan teratur dapat menarik lebih ramai pelancong disamping menjamin keselamatan peniaga daripada cuacu buruk di kawasan itu.

Menurut Agus Abdullah, 22, yang sudah dua tahun berniaga di kawasan itu, bangunan kekal yang lebih selamat dan selesa adalah idea yang baik bagi mengatasi kejadian angin kencang yang boleh membahayakan orang ramai.

“Cadangan itu boleh diterima demi kebaikan untuk semua yang mana daripada para peniaga berterusan berhadapan dengan masalah seperti ini, saya menerima baik cadangan itu,” ujarnya apabila ditemui TVSelangor.

Pada 17 Sept, kira-kira 30 pengusaha gerai menjual aksesori dan makanan kerugian hampir RM30,000 akibat gerai mereka dipukul ribut selama 20 minit.

Bagi Noranifin Omar,37, yang merupakan peniaga dari kawasan Jeram berkata, kejadian ribut itu menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM6,000 akibat khemah dan barang perniagaan yang rosak.

“Jika cadangan pembinaan itu dilaksanakan kelak, maka tahap keselamatan kami sebagai peniaga dan pelawat lebih terjamin.

“Saya berharap pembinaan ini dipercepatkan untuk semua pihak peniaga di sini yang mana ada kira-kira 70 peniaga di kawasan ini,” katanya.

Iskandar Imnor, 27, pula berharap bangunan itu dapat merancakkan aktiviti perniagaan di sini serta menarik lebih banyak pelancong ke kawasan ini.

“Saya harap promosi dipertingkatkan untuk menguar-uarkan kawasan ini agar lebih ramai pengunjung yang datang di masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini,Ahli MDKS Zon 5B, Ahmad Alang berkata,cadangan pembinaan bangunan baru itu masih diperingkat awal perbincangan mesyuarat majlis daerah dan dijangka akan diluluskan sebelum Disember depan.

 


Pengarang :