Selangorkini
NASIONAL

PKR Kecam Tindakan ‘Ganti Jalur Gemilang’ Di Malam Ambang Merdeka

PETALING JAYA 2 SEPT: PKR mengecam tindakan beberapa individu yang membawa ‘bendera baru’ bagi menggantikan bendera kebangsaan negara ini, ‘Jalur Gemilang.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab yang tidak boleh diterima oleh rakyat negara ini.

Beliau turut menyelar tindakan seorang pemuda yang melondehkan seluar dan menunjukkan punggungnya dihadapan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri serta pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Gambar-gambar tersebut diletakkan di atas Jalan Tun Perak berhampiran Dataran Merdeka bersama nyalaan lilin dan sekuntum bunga daisy.

“Kedua-duanya sama, ia perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali,” kata Azmin ketika menjawab soalan media di Ibu Pejabat PKR di sini semalam.

Azmin juga menambah, PKR tidak perlu membuat sebarang tindakan susulan dalam isu ini kerana acara sambutan itu bukan dianjurkan oleh PKR.

“Ia bukan anjuran PKR, tetapi pengerusi JANJI, Maria Chin Abdullah juga telah mengeluarkan kenyataan yang menentang tindakan yang memalukan dalam isu ini,” kata Azmin lagi.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Azmin memberitahu budaya samseng di era Perdana Menteri sekarang(Najib) menjadi semakin tidak terkawal apabila pemimpin nombor satu negara itu sendiri seolah-olah merestui tindakan ganas itu.

Menurutnya, budaya samseng dan ugutan telah menjadi amalan dan senjata utama musuh-musuh politik yang mahu menyekat kemaraan PKR dan Pakatan Rakyat di negara ini.

Lebih malang lagi, apabila pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tidak memberikan sebarang komen yang menentang budaya samseng itu sekaligus memberikan isyarat salah kepada samseng-samseng terlibat.

“Ia seolah-olah satu rangsangan terus dari Datuk Seri Najib Razak kepada kaki-kaki samseng yang lain untuk terus berlaku kasar dan mengancam keselamatan pemimpin utama PKR dan Pakatan Rakyat,” kata Azmin.

Dalam perkembangan terbaru, Bas Merdeka Rakyat yang digunakan dalam Jelajah Merdeka Rakyat telah diserang di hadapan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan.

Serangan yang menggunakan batu simen dan kantung plastik mengandungi cat berwarna merah itu telah mengakibatkan cermin hadapan di bahagian pemandu retak dan bahagian sisi yang sama turut disimbahi cat warna merah itu.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar juga pernah diancam dan diganggu oleh penyokong Umno di Sembrong, Johor dan kereta yang dinaikinya juga pernah dirosakan di Kota Bharu dan beberapa tempat lain lagi.

Dalam satu siri ceramah di Lembah Pantai yang dihadiri Ahli Parlimennya, Nurul Izzah Anwar, seorang warga emas turut tercedera dibaling batu oleh individu yang dipercayai penyokong Umno yang menghadiri ceramah Umno di lokasi bersebelahan antara satu sama lain.

Selain itu, serangan beberapa individu dalam ceramah-ceramah lain yang membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat lain turut kerap berlaku termasuk gangguan seperti memaki hamun dan membuat bising dengan bunyi motorsikal yang dipandu oleh Mat Rempit yang diupah.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang mengalami nasib demikian adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Selain itu, tindakan ganas polis yang dilihat bertindak ala ‘samseng berlesen’ ketika mentangani peserta BERSIH 3.0 pada Mei lalu turut tidak mendapat reaksi yang sewajarnya.

Tidak ketinggalan, kempen Occupy Dataran yang dijalankan oleh aktivis mahasiswa sedikit masa dahulu turut menghadapi serangan ganas samseng yang diketahu umum sebagai pihak penyokong Umno.

“Walaupun pelbagai laporan polis telah dibuat, sehingga sekarang tidak ada seorang pun yang diheret ke muka keadilan.

“Rakyat juga menunggu-nunggu reaksi Datuk Seri Najib Razak yang wajib mengutuk keras budaya samseng sebegini yang mencemarkan arena politik negara.


Pengarang :