Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Sambutan Rumah Terbuka DUN Ijok Meriah Dengan Kehadiran 1,000 Tetamu

BISTARI JAYA 02 SEPT : Orang ramai tidak putus-putus membanjiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri bagi DUN Ijok di Kampung Jaya Setia, di sini, semalam.

Kira-kira 1,000 penduduk pelbagai kaum menyerikan rumah terbuka bagi DUN Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu.

Majlis bermula jam 2 petang dan berakhir pada 6 petang.

Abdul Khalid ditemani isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut sempat melawat ke gerai-gerai makanan dan bersalam dengan penduduk yang mengunjungi sambil mengucapkan selamat hari raya.

Selain berpeluang menjamu selera dengan pelbagai jenis juadah, wakil dari sekolah di sekitar DUN turut mendapat bantuan wang tunai, sumbangan peribadi kepada ketua kampung manakala kanak-kanak diberikan duit raya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad ; Ahli-ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Rumah terbuka itu dianjurkan Pejabat DUN Ijok dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu,ketika ditemui Ketua Kampung Jaya Setia, Osman Badaei berkata persaudaraan dan perpaduan rakyat negara ini dapat digambarkan melalui kesediaan umat Islam mengadakan rumah terbuka untuk meraikan kunjungan tetamu.

Beliau berkata, melalui majlis rumah terbuka, perpaduan bukan sahaja dijalin antara umat Islam malah lebih istimewa lagi apabila perayaan itu turut disambut oleh penganut agama lain apabila mereka berkunjung ke rumah umat Islam.

Seorang lagi penduduk Hashim Kasmani, 54, berkata kehadirannya ke rumah terbuka itu adalah untuk mengambil peluang bersemuka dan bersalam dengan Menteri Besar selain untuk memeriahkan suasana.

Manakala bagi Siti Idayu, 45, berkata beliau mengambil peluang untuk hadir kerana sambutan hari raya sedemikian hanya setahun sekali.

“Jadi disamping itu kita dapat mengeratkan silaturahim dan memeriahkan suasana,” katanya.


Pengarang :