Selangorkini
NASIONAL

Tiada Pencen : Menteri Sukan ‘Cacat Pemikiran’ Nafi Keupayaan Atlet Paralimpik Negara

SHAH ALAM 7 SEPT: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek disifatkan sebagai ‘dangkal dan cacat pemikiran’ apabila enggan memberi layanan samarata terhadap atlet paralimpik negara yang memenangi pingat dalam temasya sukan terbesar dunia itu, kata Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Faizal Che Yusuf.

Shabery dipetik berkata standart sukan paralimpik dan sukan olimpik jauh berbeza ketika ditanya adakah atlet paralimpik yang menang pingat untuk negara akan turut diberi pencen sepertimana pemenang pingat olimpik negara yang lain.

Menurut Faizal, kenyataan Menteri tersebut begitu mengguris hati Orang Kurang Upaya(OKU)di negara ini.

“Kenyataan beliau yang dilihat seolah-olah memandang rendah kepada sukan paralimpik. Ternyata pandangan beliau dibuat secara tidak tidak berhati-hati selain menggambarkan ketidaksediaan kerajaan mengiktiraf kedudukan sukan paralimpik di peringkat antarabangsa, ia sekaligus memperkecilkan sumbangan yang diberikan oleh atlet-atlet paralimpik negara,” katanya yang juga Ahli Majlis Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia.

Tambahnya, pihak kerajaan dan Menteri tentunya sedar sukan paralimpik adalah sukan terbesar dunia yang melibatkan OKU dan kedudukannya sama tinggi dengan sukan olimpik.

Penyertaan atlet-atlet dari Malaysia tentu sekali membawa nama negara apatah lagi bila kemenangan diraih, pingat dibawa pulang.

Jelas Faizal, Akta Orang Kurang Upaya 2008 secara jelas mengiktiraf potensi dan sumbangan OKU dalam negara. Selain itu, kesamarataan kepada OKU sebagai warga negara adalah juga diiktiraf oleh Akta 2008 tersebut.

“Layanan yang berbeza kepada atlet-atlet paralimpik adalah jelas suatu perlanggaran kepada penguatkuasaan Akta 2008 sekaligus suatu diskriminasi terhadap OKU,” jelasnya.

Justeru, selaku wakil kepada OKU umumnya dan atlet-atlet paralimpik khususnya, saya menggesa untuk pihak Menteri dan kerajaan Malaysia mengkaji sehalus-halusnya layanan yang seharusnya diberikan kepada atlet-atlet paralimpik agar ia sama dengan atlet-atlet olimpik negara.

Persoalan saiz kedua-dua sukan tersebut tidak sepatutnya timbul disebabkan atlet-atlet paralimpik dengan kecacatan yang ada masih mampu bersaing di peringkat antarabangsa hingga mampu membawa pulang ingat untuk negara.

“Kejayaan membawa pingat perak bukanlah mudah. Tentunya ia diraih setelah usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan.

“Pengiktirafan kerajaan dalam sukan kepada OKU tentunya akan membuka ruang kepada tanggapan yang lebih baik terhadap OKU oleh masyarakat seluruhnya,”katanya lagi.


Pengarang :