Selangorkini
SELANGOR

Wakaf Selangor Muamalat Untuk Pembangunan Kesihatan dan Pendidikan

SHAH ALAM, 27 SEPT : Dalam usaha menambahbaik aktiviti wakaf, Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan “Wakaf Selangor Muamalat” bagi pengurusan dana wakaf di Selangor.

Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid berkata, Bank Muamalat melalui 18 rangkaian cawangannya di negara ini akan mengumpul dan menguruskan dana waqaf secara usahasama dengan PWS.

Beliau berkata, kutipan dana wakaf ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan serta pendidikan.

“Sebagai permulaan untuk dana wakaf, Bank Muamalat akan memberi sumbangan wakaf sebanyak RM1 juta. Kakitangan Bank Muamalat turut memberi sumbangan wakaf sebanyak RM75,040.

“Melalui kutipan daripada pembayaran berkala, hibah dan sumbangan langsung daripada sektor runcit dan korporat, kami menjangka dana wakaf ini akan berkembang dari semasa ke semasa,” kata Munir.

Majlis pelancaran perkhidmatan terbaru Bank Muamalat ini disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Hotel Concorde, dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Tambah Munir, skim ini mensasarkan kutipan dana sehingga RM 50 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurutnya, pengurusan kutipan wakaf ini akan dilakukan menerusi pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Bersama yang bertindak merangka serta melaksanakan aktivit-aktiviti wakaf.

“Perkhidmatan ini akan dilaksanakan tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan sebagai tanggungjawab sosial korporat,” katanya lagi.


Pengarang :