Selangorkini
NASIONAL

200 Bendera PKR Dicuri Dan Dibakar di Hadapan Bilik Gerakan Parti Politik

KLANG, 21 OKT: Kira-kira 200 bendera PKR yang dipasang di sekitar tapak program Jelajah Merdeka Rakyat di kawasan letak kereta pasaraya Econsave didakwa dicuri dan kemudiannya dibakar di bilik gerakan sebuah parti politik.

Bendera-bendera itu yang merupakan antara persiapan ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Pandamarn di sini, dipercayai telah dicuri pada lewat malam tadi.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri ketika mempengerusikan Program Jelajah Merdeka Rakyat di sini hari ini.

Menurut beliau, perbuatan memalukan tersebut menggambarkan ketakutan setengah pihak tentang kemaraan Pakatan Rakyat.

“Mereka tak mampu berbuat apa-apa, nak lawan hujah tak berani, jadi yang mereka boleh buat hanyalah curi dan bakar bendera PKR,” kata beliau.

Azmizam juga memberitahu, AMK akan membuat laporan polis mengenai kejadian ini.

Di dalam program Jelajah Merdeka Rakyat hari ini, dianggarkan lebih seribu orang telah membanjiri program yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Selain Ketua Umum PKR, program tersebut turut menampilkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai penceramahnya.


Pengarang :