Selangorkini
SELANGOR

70 Lampu Jalan Atasi Risiko Kemalangan Ke Pekan Bangi

SHAH ALAM 6 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250,000 melalui geran Selangorku bagi pemasangan lampu jalan di laluan sejauh lima kilometer antara jalan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) ke Pekan Bangi Lama.

Sebanyak 70 lampu jalan dipasang bagi memudahkan penduduk Bangi Lama dan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini di waktu malam yang terdedah kepada pelbagai risiko kecelakaan.

Kelmarin, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar bersama wakil Jabatan Kerja Raya Selangor(JKR) meninjau bagi melihat pemasangan lampu jalan berkenaan.

Sementara itu, Dr Shafie berkata, JKR memaklumkan permohonan dibuat bagi memasang lampu di atas jalan itu pada bulan Julai tahun ini dan sebanyak 49 lampu sudah siap dipasang.

“Ini bermakna sebanyak 21 tiang perlu dipasang lagi hingga ke Pusat Penyelidikan Atom di Jalan UKM-Bangi dan ia akan disempurnakan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak lima syarikat bertanggungjawab terhadap pemasangan lampu jalan ini iaitu Electric Setuah, Khidmat Jaya Engineering, Dinurai Trading, ANR Letrik Enterprise dan Zeksha.

Bagaimanapun, Nie Ching berkata, penyaluran bekalan elektrik ke lampu jalan akan mengambil masa lebih sebulan memandangkan perlu memohon lima akaun bagi laluan itu.

“Permohonan dikemukakan dan kita berharap pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) dapat meluluskan permohonan ini secepat mungkin,” katanya dalam satu laporan akhbar hari ini.


Pengarang :