Selangorkini
Pelbagai

Abdul Khalid : PKNS Tidak Jual Aset Komersial, Noh Boleh Rujuk Akauntan Kementerian

SHAH ALAM, 30 OKT : Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menegaskan bahawa anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan menjual lima aset komersialnya pada harga RM321 juta seperti yang didakwa.

Sebaliknya, jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kesemua aset itu dikumpul untuk dipindah milik kepada anak syarikat baru milik penuh perbadanan itu iaitu Private Real Estate Company (PREC).

Malah katanya, tindakan memindahkan aset itu adalah perkara atau rutin biasa dalam sesebuah syarikat.

“Saya malas untuk terangkan lagi kerana kelima-lima aset itu tidak dijual tetapi dikumpul di bawah anak syarikat PKNS. Ia pemindahan aset bukan jualan. Akaun akan bergerak daripada PKNS ke anak syarikat baru itu.

“Perkara ini adalah biasa. Kalau Noh sebagai menteri masih tidak tahu, beliau boleh rujuk kepada akauntan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk penerangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha di Kompleks Karangkraf, di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, segala perancangan dan tindakan yang dilakukan PKNS juga sentiasa mengambil kira kebaikan anak syarikat itu sebagai agen hartanah di Selangor.

“PKNS wujud lebih awal daripada Capital Land di Singapura tetapi ia menjadi berpuluh ganda daripada PKNS. Kita tidak mahu orang berhati kecil dan berjiwa rendah seperti Noh Omar tetapi kita mahu PKNS jadi lebih besar. Ini tidak akan merugikan Selangor mahupun Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa Abdul Khalid membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan penjualan aset berkenaan.

Sementara itu, menjawab kenyataan berhubung kenaikan harga sewa di premis PKNS, Abdul Khalid menjelaskan tindakan itu dibuat berdasarkan perbincangan yang dibuat bersama ahli lembaga pengarah lain.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk para peniaga.

“Kalau ada peniaga yang tidak mampu bayar, kita akan tolong. Tetapi kalau mereka (peniaga) untung banyak, mereka perlu bayar supaya persaingan itu wujud. Kita mahu bina usahawa melayu yang berdaya saing,” ujarnya.


Pengarang :