Selangorkini
SELANGOR

“Ada Apa Dengan Gender” Mewujudkan Kefahaman dan Sikap Menghormati

SABAK BERNAM 15 OKT: Rata-rata peserta yang menghadiri Seminar ‘Ada Apa Dengan Gender’ mendapat kefahaman yang lebih jelas mengenai fungsi dan tanggungjawab gender.

Mereka juga berkata forum tentang isu yang kerap-kali disalah tafsir ini mampu memupuk sikap saling menghormati diantara lelaki dan wanita.

Seorang peserta, Wasanthe Sinasamy, 58, berkata, setiap orang perlu tahu peranannya sebagai lelaki dan wanita dan mengenalpasti sumbangan mereka dalam masyarakat.

“Melalui seminar yang dianjurkan ini, saya merasakan setiap individu perlu menghormati dirinya sendiri dan mereka yang berlainan gender.

?Ini supaya peranan masing-masing dapat disatukan demi keharmonian sesebuah masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas seminar itu berakhir.

Seminar yang berlangsung sehari itu dianjurkan Exco Hal-Ehwal Wanita Selangor Rodziah Ismail dengan kerjasama Pejabat Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar hari ini.

Ia dihadiri Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Noor dan Setiausaha Yang Dipertua MDSB, Haznil Hakim Yazid serta kira-kira 300 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan di Selangor.

Rodziah di dalam ucapannya berkata, program yang julung kali diadakan ini diharap mampu memberikan kefahaman mengenai fungsi dan peranan lelaki dan wanita dalam usaha menjadikan Selangor sebuah negeri yang aman dan harmoni.

“Seminar yang bertujuan mengenengahkan isu gender ini diharap dapat memberikan manfaat kepada setiap rakyat untuk menjadikan negeri ini terus maju tanpa sebarang konflik melanda diantara rakyatnya,” katanya.

Seorang lagi peserta, Siti Hajar Min, 50, berkata, seminar seperti ini memberikan penerangan secara lebih terperinci mengenai maksud gender serta kepentingannya.

“Sebelum ini kita anggap gender ini tidak penting dan minda kita tidak terbuka mengenai kepentingannya namun sebenarnya gender mempengaruhi banyak aspek dalam kehidupan kita,” katanya.


Pengarang :