Selangorkini
NASIONAL

Anwar Jemput 2 Peguam Perancis Ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 OKT – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjemput dua orang peguam Perancis yang bertindak bagi pihak NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di dalam sidang pendengaran berhubung kes Scorpene untuk memberi taklimat kepada semua MP Pakatan Rakyat.

MP Subang, R. Sivarasa berkata Anwar telah berangkat ke Paris pada Selasa (semalam) untuk menyerahkan surat jemputan kepada William Bourdon dan Joseph Breham.

“Surat jemputan adalah dari pihak ketua pembangkang kepada kedua-dua peguam tersebut untuk menghadiri satu taklimat yang akan dikendalikan bagi semua ahli parlimen,” kata Sivarasa semasa sidang media di lobi parlimen.

Sivarasa berkata, taklimat berkenaan telah dijadualkan untuk berlangsung semasa sidang parlimen kali ini yang akan berakhir pada Nov 27.

Sidang pendengaran berkenaan tuduhan pembayaran komisyen secara tidak sah atau rasuah dalam pembelian dua buah kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia daripada firma/syarikat Direction des Construction Navales Services (DCNS) dan Thales Armaris, pada tahun 2002, sedang berjalan di mahkamah Tribunale de Grande di Perancis.

Suaram pada tahun 2009 telah menggesa mahkamah Perancis untuk menjalankan siasatan keatas tuduhan berkenaan kes pembelian Scorpene, setelah pihak kerajaan Malaysia enggan mengambil tindakan yang sama.

“Sejak sidang bermula pada 16 Mac, Suaram sebagai pihak terlibat telah mendapat akses kepada 153 dokumen daripada pejabat pendakwaraya dan telah juga mendedahkan sebahagian kandungan dokumen terbabit.

“Berikutan itu, maka telah wujud keperluan segera untuk satu taklimat diadakan bagi semua Ahli Parlimen Malaysia yang berminat untuk mengikuti perkembangan kes tersebut,” kata Anwar dalam surat jemputan berbahasa Inggeris, diedarkan oleh Sivarasa kepada media.

Isu berhubung skandal pembelian Scorpene yang melibatkan bayaran komisyen lebih RM 500 juta kepada syarikat milik rakan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan menjadi perhatian umum sejak tujuh tahun lalu.

Skandal ini juga di dakwa mempunyai hubung kait dengan pembunuhan warga Monggolia, Altantuya Shariibuu dengan menggunakan bahan peletup C4 pada 2006.


Pengarang :