Selangorkini
NASIONAL

Anwar : Naik Jet Tak Pakai Duit Rakyat

KLANG 30 SEPT : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau menaiki jet eksekutif menggunakan wang rakyat.

Katanya, pihak Umno-BN sengaja menimbulkan isu sedemikian kerana sudah kehabisan idea dan mahu ‘menggasaknya’ dalam menghadapi Pilihanraya Umum 13 akan datang.

“Aku naik jet, ada aku ambil duit rakyat ke? Ada aku ambil duit kerajaan? Ada aku bawak Azizah (Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah) pergi membeli belah di Rome?

“Aku naik jet sebab bila aku naik bas kamu baling batu dan cat kepada aku.

“Selepas ini aku mahu naik basikal pula, aku nak tengok kamu nak complain atau tidak, ” katanya sambil berseloroh dihadapan kira-kira 1,000 penonton program Jelajah Merdeka Rakyat, di Bandar Putera, di sini.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan menaiki jet eksekutif bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang lain dari Terminal SkyPark Subang untuk ke Labuan, Sabah pada 15 September lalu.

Menurut pendedahan blog yang memetik kenyataan akaun Twitter Naib Presiden PKR, Tian Chua beberapa hari lalu, jet eksekutif itu dinaiki Anwar dan pemimpin Pakatan lain ke Labuan dan Kota Kinabalu, dipercayai bagi menyambut perayaan Hari Malaysia.

Terdahulu di dalam program yang sama, Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada 150 orang golongan tidak berkemampuan.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ; Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu, Elizabeth Wong ; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Adun Sri Muda dan Shuhaimi Shafei.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dun, Haniza Mohamed Talha, Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri, Adun Meru, Dr Rani Othman, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.


Pengarang :