Selangorkini
SELANGOR

Audit : CCTV Berjaya Kurang Indek Jenayah Di MPSJ

SHAH ALAM 17 OKT : Inisiatif Majlis Perbandaran Subang (MPSJ) memasang sistem kemera tertutup (CCTV) di kawasan seliaannya berjaya mengurangkan indeks kadar jenayah dikawasan terbabit.

Perkara ini berdasarkan kepada laporan Ketua Audit Negara 2011.

Analisis audit terhadap kadar indeks jenayah bagi tahun 2008 hingga 2011menunjukkan kadar ini mengalami trend penurunan dan kenaikan bagi tempoh tersebut.

Mengikut statistik jenayah yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya mendapati bagi tahun 2011, penurunan indeks jenayah bagi kawasan pentadbiran MPSJ adalah sejumlah 354.02 (-34.8 peratus) daripada 1,017.83 pada 2010.

Rakaman imej CCTV yang dibuat pada setiap hari akan disimpan selama satu bulan dan sekiranya terdapat permintaan, rakaman terbabit akan dikemukakan kepada polis bagi tujuan membantu siasatan.

Semakan audit mendapati bagi tahun 2008 hingga 2011, MPSJ mengemukakan sebanyak 52 rakaman CCTV yang memaparkan insiden jenayah dan 17 rakaman yang melibatkan kejadian kemalangan.

Audit juga melaporkan 52 peratus responden(penduduk MPSJ) bersetuju terdapat peningkatan tahap keselamatan susulan pemasangan CCTV oleh MPSJ.

Untuk rekod, bagi mencapai objektif ini, sebanyak 100 unit CCTV disewa daripada syarikat swasta di mana 90 unit CCTV dipasang secara tetap mengikut lokasi yang ditentukan secara bersama dengan polis dan 10 unit CCTV mudah alih yang dipasang berdasarkan keperluan semasa.

MPSJ seluas 161.80 kilometer persegi yang meliputi kawasan Subang Jaya, Serdang, Kinrara dan Seri Kembangan.

 


Pengarang :