Selangorkini
NASIONAL

Audit Saran DBP Pantau Syarikat Cetak Dan Edar Buku Elak Jejas Pelajar

SHAH ALAM, 16 OKT : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disarankan supaya memantau pengurusan syarikat konsesi yang dilantik bagi memastikan operasi percetakan dan pengedaran buku teks sekolah berjalan lancar dan tidak menjejaskan pembelajaran pelajar.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011, pihak DBP hanya mengambil tindakan setelah mendapati syarikat konsesi penswastaan menghadapi krisis kewangan yang kritikal dan tidak mampu untuk meneruskan operasinya.

Menurut laporan itu, syarikat konsesi seringkali gagal merancang pembekalan dan pengedaran buku teks ke semua sekolah seluruh negara dengan baik sehingga mengakibatkan kelewatan.

“Pada pendapat Audit, syarikat konsesi dari awal penswastaan tidak berupaya melaksanakan tanggungjawabnya dan DBP perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap syarikat ini. Kegagalan syarikat konsesi melaksanakan obligasinya berpunca daripada masalah aliran tunai dan hutang yang serius,” jelas laporan itu.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa syarikat konsesi turut mengalami masalah kewangan yang kritikal dengan jumlah hutang sebanyak RM123.61 juta dan didapati tidak berkemampuan untuk meneruskan obligasi percetakan dan pengedaran buku teks bagi kegunaan tahun 2012.

Sehubungan itu, DBP disarankan supaya memantapkan klausa perjanjian penswastaan dengan syarikat yang mengambil alih supaya kelemahan dalam perjanjian yang sebelum ini tidak berulang.

“Pada pendapat Audit, DBP perlu memantau secara berkala pengurusan dan operasi penswastaan termasuk pemantauan terhadap aliran tunai syarikat. Tindakan awal sepatutnya diambil bagi mengatasi masalah yang dihadapi sebelum syarikat memberhentikan operasinya,” kata laporan itu.


Pengarang :