Selangorkini
NASIONAL

Bantah Tindakan DBKL Keluar Notis Roboh Kuil Berusia 100 Tahun

 

DAMANSARA 9 OKT : Naib Presiden PKR, N Surendran hari ini membantah notis yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merobohkan sebahagian struktur Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman yang berusia lebih 100 tahun.

Notis bertarikh 25 September itu juga dengan jelas menyatakan kegagalan untuk memenuhi arahan dalam tempoh sebulan membolehkan DBKL meruntuhkan kuil yang terletak di Jalan P Ramlee itu.

Notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen (72) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi tadi, Surendran berkata, notis tersebut merupakan satu simbol jelas penindasan masyarakat India di negara ini oleh Kerajaan Umno-BN.

“Dalam surat khabar berbahasa Tamil, Perdana Menteri(Datuk Seri Najib Razak) meletakkan iklan besar-besar merayu masyarakat India memberikan kepercayaan kerajaan (Umno-BN).

“Tetapi dalam masa sama, notis dikeluarkan oleh kerajaan yang diketuai Najib untuk merobohkan rumah ibadat kaum India yang berusia lebih 100 tahun.

“Tindakan ini adalah salah di sisi undang-undang, mencabul keadilan dan hak penganut-penganut Hindu,” tegas Surendran.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar meminta agar Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib untuk menimbang kembali keputusan tersebut demi kepentingan rakyat.

“Kami tidak menolak pembangunan namun biarlah ia dilakukan dengan cara dan prosedur yang betul serta jelas.

“Mereka perlu juga meneliti nilai kemanusiaan dan masalah masyarakat dalam segala keputusan yang dibuat,” ujarnya.

PKR juga akan membuat laporan polis dan mengadakan bantahan perobohan kuil secara aman di bangunan DBKL pada satu tarikh yang akan diputuskan kemudian.


Pengarang :