Selangorkini
NASIONAL

DBKL Digesa Kaji Semula Keberkesanan Sistem ITIS

KUALA LUMPUR,16 OKT : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula keberkesanan pelaksanaan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan bahawa pelaksanaan sistem itu gagal mencapai spesifikasi yang sepatutnya dan ia membazirkan wang rakyat khususnya pembayar cukai.

“Projek ITIS yang menelan kos sebanyak RM365 juta yang dilaksakanakan pada 2005 melalui tender terus.

“Kita mendesak pihak DBKL agar menghentikan praktis tender terus ini kerana ia membabitkan wang rakyat.

“Ia sesuatu perkara yang perlu dijawab oleh Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib mengenai keperluan sistem itu dan apakah pihak syarikat itu perlu dipertanggungjawabkan,” kata Nurul semasa sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, sistem ITIS itu sehingga 2010 pihak DBKL masih memberikan geran kepada ITIS sebanyak RM65 juta untuk penyelenggaraan dan pengoperasian sistem itu.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw berkata, pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur juga digesa membentangkan jumlah kos sebenar pelaksanaan sistem ITIS.

“Pihak Menteri juga perlu mengumumkan samada untuk meneruskan projek yang membazirkan wang rakyat ini,” katanya.

Turut serta dalam sidang media itu Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Cheras,Tan Kok Wai.

ITIS ialah sebuah sistem maklumat pengangkutan bersepadu yang dibina khas untuk DBKL mengawasi aliran trafik serta menganalisa data keadaan lalulintas di Lembah Kelang untuk disampaikan kepada pengguna jalan raya.


Pengarang :