Selangorkini
NASIONAL

Doa Malaysia Negara Kristian Kenyataan Nasha Tiada Kaitan PAS

KUALA LUMPUR 10 OKT : PAS menyatakan dakwaan Nasharuddin Mat Isa berhubung majlis kemenangan DAP di Sarawak yang mendoakan agar Malaysia akan menjadi negara Kristian adalah pandangan peribadi bekas Timbalan Presiden itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dalam satu sidang media di lobi Parlimen pagi ini berkata, seharusnya Nasha berbincang dengan PAS jika terdapat gerak geri yang bertentangan dengan pendirian PAS.

“Sepatutnya sebelum ini beliau tampil beserta bukti untuk dikemukakan kepada PAS tetapi baru-baru ini jumpa pun beliau tidak menimbulkan perkara ini sebaliknya diam seribu bahasa.

“Saya yakin jika terbukti benar tuduhan tersebut, PAS mahupun DAP sendiri akan mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau yang turut ditemani Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob.

Khalid juga mempertikaikan niat dan tujuan Nasha mendedahkan perkara berkenaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir.

“Jika dilihat juga hubungan beliau dengan PAS tidaklah seakrab beliau bersama Umno-BN ketika ini.

“Malah kenyataan beliau juga menunjukkan beliau seolah tidak berminat lagi dengan keahlian PAS, dari situ kita sudah boleh lihat,” jelasnya lagi.

Sambil mengulangi kenyataan Nasha tiada kaitan dengan PAS, Salahuddin berkata sebarang tindakan terhadap Nasha akan diputuskan Majlis Syura PAS.

Mengulas tindakan DAP untuk membuat laporan polis, Khalid secara peribadi menyatakan itu hak DAP dan PAS tiada halangan.


Pengarang :