Selangorkini
NASIONAL

Dr Maszlee Gesa Mufti Jelaskan Pendirian Terhadap Kenyataan Soi Lek

SHAH ALAM, 24 OKT: Mufti dan para ulama negara ini digesa agar menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan-kenyataan menghina Islam yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Gesaan tersebut dibuat oleh Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Dr Maszlee Malik dalam satu sidang media selepas beliau mengendalikan program Wacana Sinar yang diadakan di sini semalam.

Beliau memberitahu, sikap membisu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjadikan Soi Lek dan pemimpin MCA lain semakin lantang dan berani menyentuh isu-isu sensitif agama Islam.

?Sama ada mereka redha atau apakah pendirian dan langkah yang perlu diambil? Malah Perdana Menteri pun tidak menafikan bila Soi Lek buat kenyataan seperti itu, seolah-olah membenarkannya walaupun ketika Perdana Menteri berucap dalam perhimpunan MCA baru-baru ini,” kata beliau.

Sebelum ini Soi Lek beberapa kali mengeluarkan kenyataan kontroversi mempersendakan hukum Islam untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam di dalam pilihan raya nanti.

Kenyataan Soi Lek yang terbaru adalah bahawa perlaksanaan hudud akan mengakibatkan seramai 1.2 juta pekerja di resort perjudian Genting Highland, pusat pertaruhan dan juga rumah urut hilang perkerjaan.

 


Pengarang :