Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Duduk Di Rumah Tetapi Bil Air Umpama Perniagaan


AMPANG 01 OKT : Seramai 26 penduduk pangsapuri di Pandan Jaya membantah tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang didakwa bertindak menukar status meter air mereka daripada “kediaman” kepada “perniagaan”.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata mengikut laporan penduduk, perkara itu berlaku sejak tahun lalu. Kes terbaru berlaku dua bulan kebelakangan ini.

Katanya, penukaran itu menyebabkan penduduk terpaksa membayar bil air empat kali ganda berbanding sebelum ini.

Mereka juga tidak mendapat air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Iskandar berkata penduduk turut mempertikaikan mengapa Syabas bertindak demikian sedangkan mereka sudah menetap di kawasan itu sejak 20 tahun.

“Jika sebelum ini mereka membayar minimum RM0.57 sahaja, kini dinaikkan kepada minimum RM2.07. Jumlah itu menjadikan bil mereka dicaj sehingga RM80 hingga lebih RM100 sebulan.

“Setakat ini, kita baru menerima laporan 26 penduduk ini, namun kita percaya perkara sedemikian mungkin berlaku dibeberapa kawasan lain di sekitar negeri,” katanya dalam sidang media di Pandan Jaya, hari ini.

Jelasnya, dalam perbincangan dengan pihak Syabas baru-baru ini, Syabas meminta penduduk yang mahu menukar kembali ke meter asal untuk memohon pengesahan dari pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Mereka turut memberikan alasan yang saya tidak terima. Dakwa mereka (Syabas) menukar meter itu berdasarkan status tanah, bagaimanapun terdapat juga sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama daripada penduduk supaya membuat aduan kepada Adun atau Ahli Majlis di kawasan masing-masing supaya memudahkan urusan menghantar senarai nama kepada MPAJ.

Katanya, pihaknya turut mendesak Syabas supaya membayar rebet kepada penduduk selepas meter itu ditukarkan kepada asal.

“Ini kerana ada yang terlibat sudah hampir setahun, ia merugikan penduduk. Jika Syabas tidak boleh mengembalikan rebet, kita meminta Syabas memotong bayaran pada bil mereka yang akan datang ini.

“Perkara ini melibatkan ribuan penduduk dan melibatkan banyak kediaman daripada perniagaan. Saya harap kerjasama daripada penduduk supaya mereka dikenakan caj yang betul (kediaman) bukannya perniagaan.

“Perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, kita tidak mahu pihak Syabas berterusan mempolitikkan isu air ini,” katanya.


Pengarang :