Selangorkini
SELANGOR

Hannah : Minta JKR Jelas Siapa Bertanggungjawab Selenggara Jejambat Banjir

SUBANG JAYA 18 OKT : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menuntut Kementerian Kerja Raya untuk menjelaskan kepada umum status projek Subang-Kelana Jaya Link yang mula beroperasi sejak Jun 2009.

Desakan itu dibuat beliau ekoran kejadian banjir di Jejambat Jalan Kemajuan Subang dua hari lalu sehingga menyebabkan sebuah kereta terperangkap.

Hannah memberitahu, respon daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menyatakan lebuhraya yang menelan kos RM 315.46 juta itu masih belum diserahkan kepada pihak JKR Pusat walaupun tempoh liabiliti kecacatan sudah tamat pada 30 Jun 2011.

Tambah beliau, kontraktor lebuhraya tersebut, Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) juga diberi tempoh sehingga 15 Oktober 2011 untuk melakukan pembaikan beberapa kecacatan.

“Namun difahamkan, JKR masih tidak mengambil alih laluan berkenaan, kenapa (JKR tidak mengambil alih) dan kita juga kini dalam proses mendapatkan senarai kecacatan yang dinyatakan JKR kepada pihak AZRB sebelum ini.

“Kita minta supaya JKR jelaskan beberapa perkara mengenai pihak yang bertanggungjawab menyelenggara laluan tersebut, adakah AZRB dan adakah bayaran penuh dilakukan kepada mereka,” ujar beliau dalam sidang media di pejabatnya di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Hannah tidak menolak kemungkinan masalah banjir di jejambat tempoh hari berpunca daripada laluan air yang tersumbat.

“Kali ini dengan banjir di jejambat, ia sememangnya tidak harus terjadi dan sebab itulah kita perlu tahu pihak yang bertanggungjawab atas laluan ini,” tegas beliau.

Subang-Kelana Jaya Link merupakan lebuhraya bertingkat tertinggi di Subang yang menghubungkan Subang dengan Sultan Abdul Aziz Shah Airport Highway, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Ia dibina pada tahun 2005 oleh JKR dengan kontraktor utamanya, AZRB dan mula dibuka pada laluan umum pada 2009.


Pengarang :